No. 2, Jalan Kampung Padang Sejahtera 2, Taman Kampung Padang Sejahtera, 25200 Kuantan, Pahang.
Tel : 019-9555028 FB : Tadika Permata Hidayah

Blog ini menghimpunkan nukilan pena guru, staf dan ahli lembaga TPH berkaitan pengalaman dan perkongsian dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Moga bermanfaat buat semua.

Saturday 9 May 2020

Salam Nuzul Quran 1441H & Selamat Hari Ibu 2020

Dengan ingatan tulus ikhlas dari kami,
buat semua...



"Successful mothers are not the ones that have never struggled. They are the ones that never give up despite the struggles."

HAPPY MOTHER'S DAY! 

Friday 24 April 2020

Jom Berkarya!


Assalamualaikum semua. 

Hari ini saya nak bercerita tentang aktiviti anak-anak dalam menzahirkan idea kreatif untuk penghasilan seni. Paling mudah ialah melalui lukisan! Bermula dari minggu pertama sesi persekolahan lagi, TPH memulakan aktiviti dengan melukis. Kenapa melukis ya? Pelbagai media boleh digunakan seperti pensil dan kertas, pensil warna, magic colour, krayon, berus dan warna air... atau lebih menyeronokkan adalah tanpa menggunakan berus! Gunakan sahaja jari jemari atau kaki untuk bermain warna. Tapi awas, memang comot! Comot yang memberikan pengalaman bermakna. 



Pada peringkat awal, biasanya anak-anak diberi kebebasan untuk melukis apa saja. Lukisan bebas untuk memberikan keyakinan dan membuahkan minat terhadap warna-warna yang terhasil. Anak-anak dibiarkan bebas mengekspresikan perasaan melalui lukisan. Ini kerana, pada peringkat ini anak-anak lebih cenderung untuk membuat lukisan seperti contengan bulatan untuk melukis objek yang terdapat disekelilingnya. 

Apabila tahap lukisan anak-anak sudah ada peningkatan baik dari segi psikomotor halus maupun keyakinan diri, barulah mereka didedahkan dengan lukisan yang bertajuk. Tajuk pada peringkat awal adalah sesuatu yang dekat dengan kehidupan sehariannya, seperti keluarga saya, permainan saya, rakan saya dan sebagainya. Melalui tajuk yang diberikan, anak-anak mula berfikir jauh, merancang dan menggambar apa yang perlu dilukiskan. Sebagai contoh, lukisan keluarga saya haruslah mempunyai ahli keluarga terdekat seperti ayah, ibu, kakak, abang dan adik.

           
Aktiviti melukis mampu memberikan kepuasan kepada anak-anak. Anak-anak dapat meluahkan perasaan dan emosi selain membina kekuatan otot jari, tangan dan pergelangan tangan yang bergerak semasa melukis atau mewarna. Bantulah mereka untuk selesa memegang alat tulis dengan betul. Selain itu, anak-anak juga dapat menerokai kreativiti dan memupuk minat dalam seni melukis.                 
                         
Oleh yang demikian, guru atau ibu bapa memainkan peranan penting untuk memikirkan strategi yang sesuai untuk meningkatkan tahap imaginasi anak-anak dan menggalakkan anak-anak untuk berfikir dalam menghasilkan lukisan yang kreatif. Adakalanya kita melukis bersama mereka. Pada ketika lain pula, kita biarkan mereka melukis sendiri. Antara kemudahan yang boleh ibu bapa perolehi ialah dari teknologi komunikasi digital iaitu internet yang membolehkan ibu bapa mencari bahan-bahan yang membantu dalam penghasilan seni kreatif. Aktiviti melukis ini mampu meransang penggunaan kedua belah bahagian otak.

Menjadi kebiasaan di TPH, apabila selesai anak-anak melukis, guru akan memudahcara dengan mengajaknya berbual mengenai lukisan yang telah disiapkan. Ini bertujuan melatih anak-anak dengan keyakinan untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan menggunakan ayat yang mudah dan memberi pandangan berdasarkan gambar yang dilukis.Pelbagai cerita menarik akan keluar! Mungkin pada pandangan kita ianya hanya bulat-bulat di sana sini. Tetapi, apabila diceritakan kita akan lebih menghargainya kerana bulat-bulat itu rupanya adalah ikan-ikan di lautan yang senang mencari makan!

Alhamdulillah dengan aktiviti seperti ini anak-anak akan berasa yakin dengan apa yang dilakukan dan sedikit sebanyak dapat meningkatkan lagi kepekaan, kreativiti dan daya imaginasi untuk mencapai pembelajaran yang optimum, menyeluruh dan menyeronokkan. Melukis secara santai dapat merehatkan dan memberi kelegaan kepada anak-anak dalam memahami perasaannya. 

Sempena Ramadan 1441 ini, didalam suasana PKP, kami mengajak ibu bapa untuk turut sama merasai dan mengalami pengalaman melukis bersama anak ini. Detik-detik indah yang mungkin tidak dapat lagi kita rasai ketika menjalani kesibukan rutin harian diluar PKP. Aktiviti Diari Ramadan 2020 ini merupakan sebuah jurnal mengumpulkan lukisan atau karya anak-anak dalam mengabadikan aktiviti yang dilakukan dalam bulan ramadan ini bersama keluarga. Anak-anak boleh melukiskan detik bersahur, menyediakan makanan untuk berbuka, iftar bersama, solat berjemaah, membuat tabung infaq ramadan, dan banyak lagi.
Selamat menyambut ramadan semua!
Stay home, stay safe.

Teacher Lin
permatahidayahkuantan.blogspot.com
24/4/2020






Wednesday 22 April 2020

Saya, Ramadan & Anak...


Dua hari lagi kita akan memasuki bulan yang ditunggu-tunggu, iaitu Ramadan Al Mubarak. Bagaimana persiapan kita meraikan kedatangan bulan agung ini di rumah bersama keluarga dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini? Bagaimana pula hendak memperkenalkan ibadah puasa kepada anak-anak?



Di sini, saya kongsikan bagaimana TPH mengajarkan anak-anak tentang ibadah berpuasa. Kita semua maklum bahawa, anak-anak kecil ini belum berkewajipan untuk berpuasa, apatah lagi cukup matang untuk memahami kewajipan tersebut. Walau bagaimanapun, adalah penting kita memberikan pengalaman bermakna kepada kanak-kanak sewaktu proses belajar berpuasa ini. Ya, mereka sedang BELAJAR dan BERLATIH. Mereka bukan sedang menjalani ibadah berpuasa yang mengikut syarat yang ditetapkan seperti seorang dewasa berakal.

Kita jelas bahawa, ibadah solat diperkenalkan sebagai latihan kepada anak agar mereka terbiasa dengan ibadah tersebut. Apabila seseorang anak dapat mengikuti amalan solat bersama, adalah lebih mudah untuk kita memperkenalkan ibadah berpuasa. Sama seperti memperkenalkan ibadah solat, ibadah berpuasa juga dilakukan secara berperingkat.

Seminggu sebelum Ramadan tiba, seisi warga TPH dimeriahkan dengan persiapan luar dan dalam. Guru dan anak-anak sibuk bergotong royong mengemas juga menghias luar dan dalam tadika bagi menghidupkan suasana. Kelas, ruang berkumpul, bahagian luar dihias dengan pelbagai dekorasi dan hasil kerja anak-anak yang menggambarkan Ramadan. Secara tidak langsung, anak-anak diberi kenangan indah yang dikaitkan dengan Ramadan. Ini merupakan sunnah Ar-Rasul, apabila kedatangan Ramadan kita mewar-warkan kebahagiaan dan keseronokan meraikan kedatangannya. Bagi memeriahkan persiapan Ramadan dalam suasana PKP, TPH bersama Wanita Ikram Kuantan menganjurkan Ohana Ramadan dengan #ohanaramadanikram iaitu keluarga berkongsi hasil dekorasi Ramadan di rumah masing-masing.

Tahun ini, nampaknya acara tahunan mengedarkan kurma kepada jiran tetangga tidak dapat dilakukan guru bersama anak-anak…


Guru-guru akan mengangkat tema dan bercerita tentang Ramadan. Kita boleh berbual, membacakan buku cerita, atau menonton animasi seperti Upin Ipin, Umar & Hana atau Nussa dan Rara yang berkisar tentang Ramadan. Ini bagi menyampaikan mesej bahawa Islam itu mudah dan sesuai dengan fitrah manusia. Saya teringat pengalaman bagaimana guru-guru di Berlin ketika anak saya bersekolah di sana, begitu mengangkat dan menghidupkan suasana sambutan krismas walaupun masih beberapa minggu tarikh perayaannya. Games, quizzes, pementasan, dan pelbagai aktiviti lain. Persekitaran yang menghidupkan akan membuatkan anak-anak ternanti-nanti akan kehadirannya.

BELAJAR BERPUASA

Ramadan di TPH berjalan dengan rutin waktu makan yang sama seperti hari diluar Ramadan, cumanya dijalankan dengan beberapa kelainan. Antaranya ialah, waktu makan anak-anak dilakukan mengikut peringkat umur (dengan keizinan ke dua ibubapanya melalui surat jawapan bertulis). Secara asasnya,

10.00 pagi : Minum pagi anak 4 tahun sahaja.
12.30 tengahari : Makan tengahari anak 4 dan 5 tahun.
4.30 petang : Minum petang anak 4, 5 & 6 tahun.

Walau bagaimanapun, ini dilakukan secara berperingkat. Biasanya pada minggu pertama Ramadan, ramai yang “berbuka” pada jam 12.30 tgh. As time goes by, kemampuan anak-anak  yang pelbagai ini akan meningkat sehingga ada yang mampu berbuka bersama ibu dan bapa. Anak-anak yang makan di tadika, diberi makan secara tertutup. Setiap pelajar akan ditanya samada untuk berbuka atau mahu meneruskan puasanya.  Mereka boleh berbuka, tetapi mood puasa masih berjalan. Tiada botol air dibenarkan bawa, menghormati dan mendahulukan rakan yang berpuasa. Di luar waktu tersebut , sekiranya ada anak yang minta untuk berbuka, guru akan membawanya ke tempat khas untuk diberikan makanan. 

Aktiviti di dalam tadika juga dipelbagaikan bentuknya, dan aktiviti luar yang lasak dikurangkan. Masa inilah cikgu biasanya mengeluarkan peralatan mainan baru untuk melekakan anak-anak, sehingga mereka tidak ingat tentang makanan. Dengan adanya jadual aktiviti yang menarik, anak-anak biasanya dapat menjalani Ramadan di TPH dengan baik. 

Oohh ya, lupa hendak nyatakan di sini. Kami juga tidak menekankan waktu sahur seperti syarat orang dewasa. Waktu sahur mereka dilewatkan. Maksudnya, masuk saja pagar tadika, sesi berpuasa telah bermula. Ini kerana mereka hanyalah dilatih untuk merasakan sedikit perasaan lapar dan dahaga. Dengan itu ibu bapa dapat gunakan waktu sahur untuk ibadah dan bersahur dengan tenang tanpa menghadapi ragam anak-anak kecil yang dipaksa makan ketika masih mengantuk. Tetapi, tidak dinafikan ada sebahagian kecil anak-anak yang sudah mampu bersahur mengikut waktunya.

KESIHATAN & KESELAMATAN

Guru-guru TPH juga mengawasi tahap keaktifan seseorang anak ketika menjalani latihan berpuasa. Mata, bibir, kulit, dan tahap kecergasan dipantau supaya tidak menjejaskan kesihatan dan keselamatan mereka. Ada kalanya, guru yang memujuk anak tadika untuk berbuka melihatkan keadaannya! Jika anak kurang aktif dan responsif, tidak perlulah anak tersebut meneruskan puasanya. Anak-anak yang ingin berpuasa dalam tempoh yang panjang, diingatkan untuk tidak melupakan sahur, banyakkan minum air dan makan buah supaya mendapat nutrien dan pencernaan tidak terganggu. Siapa yang tidak bersahur, cikgu tak bagi berpuasa di tadika!

Suasana seronok dan bersama-sama belajar berpuasa ini, menjadikan seseorang anak itu bersedia untuk mencubanya. Bagaimana tidak seronok, setiap anak tanpa terkecuali diberikan hadiah penghargaan dari TPH kerana belajar berpuasa. Makanya, perkenalkanlah ibadah berpuasa ini secara hikmah dan kasih sayang, kerana itulah tujuan Ramadhan.

Selamat belajar berpuasa anak-anak..
Ramadhan Kareem!

Teacher Ummi
permatahidayahkuantan.blogspot.com
22/4/2020 




Saturday 18 April 2020

Penglibatan Ibu Bapa Dalam Proses Pembelajaran Anak Semasa PKP


      Pendidikan awal kanak-kanak merupakan peringkat awal dalam proses pembelajaran untuk seseorang kanak-kanak. Penglibatan ibubapa dalam pembelajaran kanak-kanak sangat mempengaruhi perkembangan mereka serta berkait rapat dengan pencapaian akademik kanak-kanak. Semakin meningkatnya penglibatan ibubapa dalam pembelajaran kanak-kanak, maka kecenderungan untuk pencapaian atau perkembangan kanak-kanak juga meningkat adalah tinggi.


      Kami di Rangkaian Tadika Permata Hidayah (TPH) amat menitikberatkan penglibatan ibubapa dalam proses pembelajaran anak-anak. Dalam situasi sekarang, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan akibat penularan virus Covid-19, telah menyebabkan anak-anak tidak lagi dapat hadir ke tadika. Kami di TPH telah mengambil inisiatif untuk menyediakan pembelajaran dari rumah yang memerlukan komitmen ibu bapa selaku pemudah cara pembelajaran. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah dalam bentuk :

1) Pelbagai Aktiviti (ujikaji, arts & craft, senaman, memasak, bercerita, origami, eksperimen);
   Disediakan untuk anak-anak memperoleh skil atau nilai tertentu yang melibatkan semua pelajar 4, 5 dan 6 tahun.

2) Lembaran Kerja 
  Disediakan untuk anak-anak mengikut peringkat umur 4, 5 & 6 tahun, atau mengikut tahap keupayaan masing-masing.

3) Aktiviti Membaca
   Disediakan untuk anak-anak mengikut tahap masing-masing yang merangkumi bacaan Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Iqra dan hafazan.

Semua aktiviti di atas telah siap disediakan panduan kepada ibu bapa bagaimana untuk memulakan, menjalankan dan mengakhiri sesebuah aktiviti. Ini penting bagi memastikan objektif sesuatu pembelajaran boleh dicapai seterusnya dapat dihubungjalin dalam interaksi ibu bapa dengan kehidupan seharian anak. Ke hadapannya, kami bercadang untuk menambah kepada interaksi audio video dan komunikasi dua hala agar anak-anak merasai kedekatan dengan guru-guru mereka. Ini akan meningkatkan motivasi anak-anak untuk mengikuti aktiviti bersama guru dari masa ke semasa. 

        Justeru itu, sinergi antara guru dan ibu bapa di rumah adalah penting sewaktu fasa PKP ini dijalankan. Tidak dapat tidak, pembelajaran dalam keadaan krisis seperti ini haruslah diteruskan walaupun ianya berjalan dari rumah. Peranan guru-guru TPH adalah untuk membantu ibu bapa dengan silibus dan perkongsian kemahiran mendidik yang ada. Dalam keadaan seperti ini, tentunya cabaran seperti disiplin anak-anak untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baru, kekangan guru dan limitasi kemahiran teknologi, juga keyakinan ibu bapa terhadap pembelajaran yang dijalankan harus difahami semua.

        Kita tidak mempunyai pilihan lain, kecuali bergerak ke hadapan melakukan pembelajaran cara baru ini bersama-sama. Kita tidak dapat lari dari menggunakan teknologi, media dan internet. Biarpun pembelajaran ini tidak sempurna, tetapi dengan saling memahami satu sama lain dan bantu membantu, ianya boleh dilaksanakan! Pembelajaran tetap boleh berjalan dengan menggunakan apa jua sumber yang ada untuk mencapai objektifnya. Slowly but surely, insyaAllah!

     Penglibatan ibubapa dalam proses perkembangan kanak-kanak mereka dapat mengembangkan potensi anak-anak secara menyeluruh. Keyakinan diri, sosial emosi, fizikal, kognitif dan keperibadian anak-anak. Ibubapa dapat membentuk sikap yang positif di dalam diri anak-anak seperti keinginan untuk belajar, rajin membaca, sifat ingin tahu dan pintar bergaul. Selain itu anak-anak juga dapat belajar pelbagai kosa kata daripada ibubapa selaku orang dewasa. Apa yang penting dari sesebuah pembelajaran ialah refleksi, iaitu apa yang diperolehi anak hasil pembelajaran atau dari sesebuah pengalaman itu. Ibu bapa harus banyak berinteraksi dan mempelbagaikan bentuk pengalaman agar ianya dapat diaplikasikan dalam kehidupan seorang anak kecil. 


       Kami sebagai pendidik di TPH mengambil berat akan penglibatan ibubapa dengan menganjurkan pelbagai aktiviti melibatkan ibu bapa, keluarga dan komuniti setempat seperti Hari Terbuka Tadika, Aktiviti Berkebun, Aidilfitri Blessing Bag, Majlis Bersama dan banyak lagi yang diatur sepanjang tahun. Namun dalam tempoh PKP yang mungkin berlangsung lama ini, sinergi dan bentuk kerjasama guru-ibu bapa harus difikirkan dalam bentuk berbeza. Sehingga catatan ini ditulis, hasil soal selidik TPH yang dijalankan untuk mendapatkan maklum balas ibu bapa, menunjukkan 100% persetujuan ibu bapa untuk TPH meneruskan pembelajaran di rumah dalam tempoh PKP. Kita bersama-sama saling membantu membina generasi rabbani yang mencintai ilmu dan berhati kental dalam mengharungi ujian Covid-19 ini. 

Terima kasih ibu bapa!
Teacher Mimie,
18/4/2020
permatahidayahkuantan.blogspot.com

Sunday 12 April 2020

Eksperimen Kacang Hijau


Pada 24 Febuari 2020 yang lalu, para pelajar di Tadika Permata Hidayah telah menjalankan satu eksperimen  yang menggunakan kacang hijau. Ianya dijalankan per individu di dalam kelas masing-masing ketika Fasa Penerokaan dalam Projek Kebun Kami. 

Tujuan aktiviti ini dilakukan adalah untuk menemukan jawapan terhadap soalan pelajar, apakah yang diperlukan tumbuh-tumbuhan untuk hidup. Sesi soal jawab diadakan untuk meguji sejauh mana kemampuan pelajar meramal perkara yang akan berlaku berdasarkan aktiviti yang dilakukan. Melalui sesi bersoal jawab ini, guru-guru dapat mengenal pasti salah faham yang berlaku dalam kalangan pelajar mengenai keperluan tumbuh-tumbuhan untuk hidup. Sebagai contohnya, ada pelajar yang menyangka pokok kacang hijau tidak dapat tumbuh kerana diletakkan didalam kelas dan bukan di kawasan luar. Ada juga segelintir pelajar menyatakan pokok tidak akan tumbuh kerana ditanam menggunakan tisu dan bukannya tanah. Untuk memperjelaskan semua salah faham yang berlaku dalam kalangan pelajar, guru telah memberi penerangan awal mengenai setiap keperluan yang diperlukan oleh tumbuhan. 



Apa itu kesalahfahaman? Kesalahfahaman atau misconceptions, adalah kefahaman seseorang yang bertentangan dengan bukti saintifik. Ianya sering berlaku pada kanak-kanak disebabkan pengetahuan mereka yang terhad. Maka adalah penting seseorang pendidik untuk mengenalpasti salah faham seseorang kanak-kanak dan membetulkan salah faham tersebut, kerana ia mempengaruhi cara anak melihat dunianya.

Para pelajar juga telah menonton beberapa video yang menjelaskan cara penanaman biji benih yang betul. Selain itu, guru turut menunjukkan video proses percambahan dan pertubuhan biji benih agar pelajar mendapat bayangan apa yang akan berlaku apabila eksperimen ini dijalankan. Antara bahan yang telah digunakan untuk menjayakan eksperiment ini ialah biji benih kacang hijau, tisu, cawan plastik dan air.

Bagi mencapai objektif, eksperimen ini telah dilakukan dengan meletakkan beberapa biji kacang hijau ke dalam empat cawan plastik yang berbeza. Cawan yang pertama mengandungi tisu yang dilembapkan dengan kadar yang sesuai serta diletakkan di bawah cahaya matahari. Cawan yang kedua pula, mengandungi air yang sangat banyak sehingga menenggelamkan biji benih serta diletakkan di bawah cahaya matahari. Namun, untuk cawan yang ketiga, biji benih kacang hijau diletakkan di atas tisu yang kering dan diberikan cahaya matahari. Cawan terakhir mengandungi biji kacang hijau yang diberikan air yang mencukupi namun tidak diberi cahaya matahari. Biji benih kacang hijau telah dibiarkan selama seminggu untuk melihat proses percambahan yang berlaku.

Sepanjang tempoh eksperimen ini berlangsung, para pelajar 6 tahun telah mencatatkan perkembangan pokok kacang hijau mereka ke dalam jurnal. Melalui kaedah ini para pelajar akan lebih jelas mengenai proses pertumbuhan anak pokok kerana dapat melihat secara langsung proses yang berlaku ke atas biji benih sebelum menjadi pokok serta mencatatkan proses perkembangannya di dalam jurnal. Melalui aktiviti sebegini, para pelajar dapat didedahkan untuk membuat ramalan berdasarkan aktiviti yang dijalankan. Secara tidak langsung aktiviti ini dapat meningkatkan tahap komunikasi para pelajar. Hal ini dapat dibuktikan apabila mereka menggunakan kaedah lisan untuk menerangkan pemerhatian yang dilakukan terhadap proses percambahan biji benih.


Secara keseluruhannya, aktiviti ini telah berjaya dijalankan dengan lancar. Para pelajar juga banyak bersoal jawab ketika proses eksperimen berlangsung. Diharapkan melalui eksperimen ini, pelajar dapat menemukan jawapan kepada soalan-soalan yang ditanyakan pada awal kajian.

Sekian,
Teacher Akmal
10/4/2020
permatahidayahkuantan.blogspot.com

Wednesday 8 April 2020

Eksperimen Kapilari


Assalamualaikum semua. 
Alhamdulillah syukur ke hadrat Illahi, hari ini kita masih lagi dapat sama-sama merasai nikmat dunia yang Allah berikan. Hari ini saya ingin membicarakan tentang Eksperimen Kapilari. Haa...apa itu Eksperimen Kapilari? Tunggu, nanti saya ceritakan.

Okay semua, sebelum dijelaskan dengan lebih lanjut, Eksperimen Kapilari ini dijalankan pada 25 Februari 2020 bersempena dengan projek ke dua yang dijalankan di TPH iaitu, Projek Kebun Kami. Eksperimen ini dijalankan semasa Fasa Penerokaan bagi menemukan jawapan untuk persoalan yang timbul semasa Fasa Inkuiri. Untuk pengetahuan, ekperimen ini dijalankan mengikut kelas masing-masing dengan penglibatan semua pelajar.



Berbalik kepada soalan saya yang mula-mula tadi, apa itu Eksperimen Kapilari?

Eksperimen Kapilari adalah bertujuan untuk mengkaji pengangkutan air yg diangkut dari akar ke seluruh bahagian tumbuhan. Percubaan ini menyeronokkan dan mudah dilakukan. Ia dapat menunjukkan bagaimana air bergerak dari akar, melalui batang hingga keseluruh dedaun/ bunga dan menukarkan warnanya. Kanak-kanak mungkin tertanya-tanya, apabila kita menyiram air kepada tumbuhan, ke manakah air itu pergi? Eksperimen ini membantu membuktikan bahawa air tersebut tidak hilang begitu sahaja. Di akhir eksperimen, anda akan mempunyai daun kubis atau bunga yang cantik warnanya! 

Haa bagaimana ia terjadi?

Seperti kita sedia maklum, tumbuhan memerlukan udara, cahaya dan semestinya air untuk terus hidup. Melalui ekperimen ini, kita ingin membuktikan bahawa tumbuhan boleh menyerap air. Ianya lebih mengujakan apabila ekperimen ini menggunakan pelbagai warna! Bahan yang diperlukan bagi ekperimen ini adalah, kubis cina, air, pewarna makanan dan juga bekas seperti gelas minuman. Jika tiada kubis cina, tumbuhan lain juga boleh digunakan dalam menjayakan eksperimen ini seperti daun saderi, sawi atau lebih menarik lagi kuntuman ros putih.

Langkah-langkah untuk memulakan ekperimen ini ialah,
1.   Titis beberapa titik pewarna makanan ke dalam setiap gelas berisi air sehingga bewarna pekat menyerlah (1 gelas untuk 1 warna).
2.    Masukkan sehelai daun kubis cina ke dalam setiap gelas tersebut.
3.    Biarkan antara 24 - 48 jam.


Selepas membuat eksperimen tersebut, guru kelas membiarkannya di suatu sudut dibelakang kelas dan meminta pelajar untuk melihat hasilnya dari masa ke semasa. Pelajar berasa sangat teruja untuk melihat warna daun kubis cina bertukar warna mengikut warna air dalam gelas minuman tersebut. Lihat kubis cina tersebut berubah secara beransur-ansur dalam beberapa jam. 

Setelah dua hari, pelajar sangat teruja dan gembira melihat kubis cina telah bertukar warna mengikut pewarna makanan yang diletakkan. Taraa, lihatlah hasilnya. Sungguh menarik bukan?

Tindakan kapilari ini tidak memerlukan kuasa graviti berlaku. Air di dalam bekas itu telah bergerak ke atas batang seolah-olah seperti straw minuman dan membawa air ke seluruh bahagian tumbuhan. Oleh kerana pewarna telah larut dalam air, maka pewarna tersebut juga telah bergerak melalui batang hingga ke daun dan kita dapat melihatnya! . 

Di akhir ekperimen ini, guru kelas bersoal jawab dengan murid. Disamping itu, guru menjelaskan bahawa tumbuhan memang menyerap air dan air merupakan salah satu sumber yang diperlukan tumbuhan untuk terus hidup. 😊

Maha Teliti Allah dalam penciptaanNya...

Cubalah eksperimen ini!

Teacher Siti,
7/4/2020
permatahidayahkuantan.blogspot.com


Sunday 5 April 2020

HARI TERBUKA KELAS SAYA

Assalamualaikum semua...

Teacher Lin di sini! Hari ini, saya ingin kongsikan pengalaman "Hari Terbuka Kelas Saya" yang telah diadakan pada 7/2/2020 sebagai kemuncak aktiviti dalam Projek 1 TPH. Pembelajaran Berasaskan Projek (PBP) yang pertama tahun ini iaitu Kelas Saya yang telah dilaksanakan sepanjang Januari 2020. Aktiviti ini dijalankan sebagai penutup fasa rekacipta, iaitu perkongsian hasil pembelajaran berprojek selama sebulan.

Hari Terbuka Kelas dijalankan dengan melibatkan penglibatan setiap pelajar dari setiap kelas 4, 5 dan 6 tahun. Kami berbincang berkenaan hasil yang hendak dipamerkan juga pembahagian tugasan. Teruja rasanya hendak menantikan kehadiran ibu bapa melihat sendiri suasana kelas dan hasil pembelajaran yang telah dijalankan. Hari Terbuka Kelas ini dijalankan serentak di semua rangkaian Tadika Permata Hidayah, Kuantan.

Aktiviti ini memberikan impak tinggi pada pelajar kerana mereka berasa bangga dan seronok untuk menunjukkan hasil kerja masing-masing, baik yang dilakukan secara individu mahupun berkumpulan. Selain memberikan mereka peluang untuk saling bekerjasama sesama ahli kelas, berkongsi idea, malah mereka juga berpeluang bercerita dan menerangkan setiap bahan pameran. Bersuai kenal dan bersoal jawab bersama ibu bapa. Ciri penting yang harus guru terapkan di awal persekolahan adalah rasa kepunyaan. Setiap pelajar harus belajar menyayangi dan menghargai kelas, rakan sekelas dan guru. Penglibatan ibu bapa - guru dalam proses pendidikan anak-anak memainkan peranan besar yang mempengaruhi perkembangan menyeluruh mereka.
  

Kehadiran ibu bapa hari ini, sangat dinant-nantikan oleh para pelajar. Ibu bapa dapat melihat pembelajaran, mengenali rakan anak-anak dan ibu bapanya, juga pergaulan anak-anak di dalam kelas. Anak-anak 6 tahun khususnya, telah diberi tugasan untuk menjadi jurucakap kepada tetamu (ibu bapa) yang hadir. Mereka menerangkan pameran hasil kerja yang telah dibuat bersama iaitu :

1) Hiasan Pintu Kelas
Setiap awal tahun, anak-anak bersama Guru Kelas diberikan tugasan khusus untuk menghias pintu kelas masing-masing dengan tema tertentu. Perkara yang perlu berada pada pintu ialah nama kelas, nama guru kelas dan gambar/ nama ahli kelas, dan hiasannya. Bentuk hiasan bergantung pada perbincangan guru kelas dan anak-anak.

2) Jadual Tugasan Kelas (6 tahun sahaja)
Jadual bertugas ini bertujuan untuk melatih anak-anak memahami dan bertanggungjawab terhadap tugasan yang akan dilakukan menjaga kelas masing-masing. Keceriaan dan kebersihan kelas haruslah terjaga. Bagi kelas 6 Al-Biruni, anak-anak telah dibahagikan kepada 5 kumpulan dan setiap kumpulan mempunyai 3 orang ahli. Di dalam kumpulan anak-anak didedahkan untuk menunjukkan sikap bekerjasama dan bertolak ansur dalam menyiapkan Jadual Tugasan Kelas. Antara tugasannya ialah sapu sampah, padam papan putih, menyusun buku dan menyusun meja dan kerusi. Pembahagian dilakukan sendiri oleh mereka. Alhamdulillah, hasilnya anak-anak sentiasa saling mengingati antara satu sama lain dalam mengikuti pembahagian tugasan tersebut.

3) Sorakan Kelas
Setiap kelas ada motto yang akan disorakkan dengan gaya yang tersendiri. Ianya boleh disorakkan dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris ataupun Bahasa Arab. Bagi kelas 6 tahun, Guru Kelas akan berbicang bersama ahli kelas untuk memilih gaya sorakan yang hendak dilakukan. Sorakan Kelas  akan dilaungkan bersama setiap kali permulaan sesuatu aktiviti baik di dalam mahu pun di luar kelas, bagi meningkatkan semangat ahli kelas dengan keunikan masing-masing. 

4) Carta Hari Jadi 
Carta Hari Jadi bertujuan untuk meraikan setiap ahli di dalam kelas tersebut. Pelbagai bentuk carta yang dihasilkan seperti peta minda, graf dan sebagainya mengikut kreativiti dan kefahaman anak-anak untuk membacanya. Selain itu, ia dapat digunakan secara visual untuk anak-anak memahami konsep bulan dan tahun, selain mengetahui tarikh lahir dan bulan kelahiran. Guru dapat gunakan carta ini untuk bersoal jawab, misalnya : Bulan apa kamu dilahirkan? Bulan apa yang paling ramai ahli kelas ini? Setiap pelajar akan diraikan hari lahirnya di Tadika Permata Hidayah dengan pemberian hadiah dari guru. 


5)  Peta Rumah  (rumah yang telah dibuat bersama keluarga)

Sebelum melaksanakan aktiviti Peta Rumah ini, anak-anak telahpun diberi tugasan untuk membuat sebuah rumah berbentuk 2 dimensi (2D) bersama ibu bapa di rumah. Syaratnya ialah mesti menuliskan nombor rumah pada rumah 2D tersebut. Hasilnya sangat mengkagumkan! Hebat rumah masing-masing yang dibawa ke tadika. Malah ada beberapa rumah yang dibuat adalah 3D! Rumah-rumah ini digunakan untuk aktiviti terakhir dalam PBP ini. Guru Kelas bersoaljawab dengan murid tentang apa yang perlu ada di dalam peta. Antara yang disebutkan anak-anak ialah : jalan raya, kedai, taman permainan, traffic light dan sebagainya. Murid membuat tugasan tersebut secara berkumpulan. Setiap kumpulan diberi tugasan untuk menyiapkan bahagian masing-masing. Ada yang membuat jalan raya, ada yang membuat pokok, kedai, stesen minyak dan sebagainya.Selesai membuat jalan raya, anak-anak mula menampal rumah secara berkelompok mengikut nama taman / lokasi rumah masing-masing.  

Semua hasil ini telah dipamerkan kepada ibu bapa semasa Hari Terbuka Kelas Saya. Dengan adanya aktiviti seperti ini, anak-anak akan terdorong untuk berani tampil ke hadapan untuk menceritakan pengalaman mereka bersama ibu bapa, rakan dan guru. Penglibatan ibu bapa juga membuahkan manfaat apabila ibu bapa turut memberi sumbangan baik berupa peralatan, hiasan, dan buku untuk anak-anak belajar dengan selesa. Terima kasih yang tidak terhingga kepada ibu bapa yang telah hadir dan dapat meluangkan masa untuk menjayakan Hari Terbuka Kelas ini. Bersama kita membentuk insan yang rabbani pintar ceria dan taqwa, insyaAllah.

Jazakumullahukhairankhathira.. 

Teacher Lin,
 2/4/2020
 permatahidayahkuantan.blogspot.com


Thursday 2 April 2020

Projek Kebun Kami

Projek Kebun Kami sudah dimulai sejak 17/2/2020. Ia dijalankan sempena tema bulan ini iaitu tumbuh-tumbuhan. Projek ini dijalankan dengan menggunakan kaedah STEM. Kaedah ini mempunyai 4 fasa iaitu inkuiri, penerokaan, reka cipta dan refleksi. Kami berharap projek ini dapat memberi pendedahan kepada anak-anak TPH menjalankan aktiviti bercucuk tanam. Sesungguhnya anak-anak yang mempunyai hubungan rapat dengan alam akan lebih tenang dan mudah untuk belajar. Mereka belajar untuk mengenali alam sekitar, dan merasai kepentingan menjaga alam sekitar.


Semasa fasa inkuiri guru telah membawa anak-anak ke sekitar halaman tadika untuk melihat kepelbagaian tumbuhan. Mereka dibiarkan meneroka dengan dorongan soalan-soalan guru untuk mencetuskan persoalan dan minat. Perbincangan ini diteruskan pada hari-hari berikutnya. Guru mula mencetuskan minat dan persoalan dengan menayangkan video berkaitan dan membawa pelbagai jenis tumbuhan untuk diamati. Guru dan pelajar bersetuju untuk melakukan kajian mendalam berkenaan tumbuh-tumbuhan.

Akhirnya, perbincangan minggu tersebut diakhiri dengan dua persoalan utama :
i) apa yang saya tahu tentang tumbuh-tumbuhan, dan
ii) apa yang saya ingin tahu tentang tumbuh-tumbuhan.
Pelajar di bawah bimbingan guru telah menghasilkan web rajah bagi dua persoalan ini. Antaranya, kenapa tumbuhan berwarna hijau? bagaimana tumbuhan minum air? kenapa perlu letak baja? Bagaimana cara nak menjaga pokok? Apa jadi pada pokok pada waktu malam?

Setiap persoalan yang timbul akan dicari jawapannya secara bersama-sama melalui pelbagai aktiviti yang disusun guru. Tujuannya, agar pelajar dapat menemukan sendiri jawapan kepada persoalan-persoalan yang timbul. Ini dapat menghasilkan pelajar yang berfikir dan bukan semata-mata disogokkan dengan maklumat dari guru. Fasa ini dinamakan fasa penerokaan. Antara aktiviti yang dilakukan ialah membuat eksperimen biji kacang hijau untuk melihat proses pertumbuhannya dari hari ke hari. Pelajar 6 tahun merekodkan pemerhatian mereka di dalam jurnal mengikut tarikh dengan melukiskan tahap-tahap percambahan biji benih tersebut. 

Eksperimen kedua juga melibatkan kacang hijau, tetapi diletakkan dalam pelbagai persekitaran yang berbeza. Ada yang tidak diberi air, ada yang diletakkan dalam bekas gelap, ada yang ditenggelamkan air dan sebagainya. Tujuan aktiviti ini bagi membolehkan pelajar mengenapasti keperluan yang diperlukan oleh sesebuah tanaman untuk hidup.

Eksperimen ke tiga menggunakan kubis cina bagi melihat kesan kapilari yang mengangkut air dari akar ke seluruh bahagian tumbuhan. Kami menggunakan pelbagai pewarna makanan bagi membuktikan air diserap. Hasilnya juga mengujakan semua pelajar. Boleh juga berkreativiti dengan meletakkan dua pewarna pada dua hujung, untuk menghasilkan satu campuran warna baru.

Kami juga telah berjalan ke taman permainan untuk melihat sendiri pelbagai jenis-jenis daun, warna, ketinggian, saiz, bentuk batang, bunga, buah, putik, daun kering dan sebagainya yang terdapat di sekeliling. Tujuan kali ini bagi pelajar mengenalpasti bahagian-bahagian tumbuhan.

Fasa rekacipta dimulakan dengan dapatan dari maklumat-maklumat yang diperolehi kanak-kanak sepanjang mengadakan penerokaan. Kami akhirnya bersetuju untuk membuat sebuah kebun, dan mengenalpasti peralatan yang perlu. Antara tanaman yang kami akan tanam ialah sawi, terung, ulam raja, bayam brazil dan bendi. Botol air mineral 1.5 liter akan digunakan sebagai pasunya. Kami ingin memanfaatkan bahan terpakai. Setiap kelas mempunyai rekaan dan hiasan botol tersendiri. Anak-anak sangat bangga dengan hasil usaha mereka. Pada hari yang ditetapkan, kami telah mengadakan aktiviti menanam serentak di tiga Rangkaian Tadika Permata Hidayah, Kuantan. Pelajar memasukkan tanah dan mengalihkan anak pokok ke dalam botol masing-masing yang telah siap bernama. Selepas semuanya sudah selesai mereka menyiram hasil tanaman dengan penuh kasih sayang. 

Satu aktiviti besar dalam fasa ini ialah Gardening Day bersama ibu bapa dan seisi keluarga yang telah dijalankan pada 7/3/2020.


Fasa refleksi adalah fasa yang terakhir di mana guru membawa pelajar untuk melihat semula web rajah yang telah dihasilkan ketika permulaan projek. Pelajar dibawa berbincang dan berkongsi idea dan maklumat hasil dari projek yang dijalankan. Guru akan memberikan jawapan sekiranya masih terdapat persoalan yang belum dapat dijawab sepanjang melakukan projek ini. Alhamdulillah, projek Kebun Kami berakhir pada 13/3/2020.

Semoga projek kami ini mendapat hasil yang baik dengan izinya insyallah. 

Sekian, 
CIKGU SHIRA 
26/3/2020 
permatahidayahkuantan.blogspot.com

Tuesday 31 March 2020

Persembahan Boneka (Puppet show) TPH

Assalamualaikum, dikesempatan ini saya ingin kongsikan pengalaman mengendalikan aktiviti puppet show bersama anak-anak Tadika Permata Hidayah ketika Minggu Orientasi dijalankan pada 2/1 hingga 10/1/2020. Sebelum memulakan aktiviti, adalah penting guru-guru membuat persiapan awal. Ini seperti penyediaan pentas atau tempat puppet show, anak patung dan alatan yang bersesuaian, jalan cerita dan perkara yang ingin ditonjolkan. Aktiviti persembahan boneka digunakan untuk menyampaikan sesebuah cerita atau mesej dengan berkesan dan efektif.  Ini kerana melalui per sembahan boneka, anak-anak boleh terlibat secara aktif dengan menyahut dialog dan pertanyaan boneka tersebut. Persembahan boneka juga dapat meningkatkan kemahiran kanak-kanak untuk berkomunikasi dan melahirkan idea kreatif dalam merangsang daya imaginasi mereka. 



Selain daripada itu, daripada aktiviti boneka anak-anak dapat menyatakan fungsi ekspresi. Fungsi ekspresi adalah merujuk kepada pertanyaan gembira, marah, teruja dan sedih. Guru mengajukan pertanyaan dengan nada dan intonansi seperti gembira, teruja, marah dan sedih kepada mereka. Kelihatan anak-anak sangat bersemangat dan sentiasa bersedia untuk menjawab soalan yang akan diajukan lagi. Anak-anak sangat terhibur  melalui pendekatan secara bermain ini dan guru telah menyediakan banyak soalan untuk mereka menjawab. Kisah kali berkait dengan Si Monyet yang hanya mahu melakukan sesuatu mengikut kehendaknya semata-mata.



Selesai persembahan, anak-anak diberi peluang untuk bercerita kembali apa yang mereka fahami daripada cerita yang dipertontonkan tadi. Di sini, guru dapat melakukan penilaian terhadap kefahaman dan tingkat bahasa yang digunakan untuk melakonkan semula. Ternyata, banyak idea kreatif mereka. Kesimpulannya, aktiviti persembahan boneka ini dapat merangsang minda anak-anak untuk memahami sesuatu pelajaran dengan lebih berkesan terutama dalam kemahiran berkomunikasi. Persembahan boneka dapat meningkatkan daya imaginasi anak-anak serta menghidupkan suasana yang ceria dan gembira. Guru haruslah kreatif dalam mewujudkan suasana dan penyediaan bahan yang menepati, agar objektif  yang ingin disampaikan itu berkesan. 

Alhamdulillah, secara keseluruhannya aktiviti yang kami jalankan ini berjalan dengan lancar. Anak-anak gembira dan terlibat aktif menjawab soalan yang kami ajukan. Ibu bapa juga boleh lakukan persembahan boneka ini di rumah. Lihatlah kesannya!

Sekian, 
Cikgu Shira 
28/3/2020 
permatahidayahkuantan.blogspot.my