No. 2, Jalan Kampung Padang Sejahtera 2, Taman Kampung Padang Sejahtera, 25200 Kuantan, Pahang.
Tel : 019-9555028 FB : Tadika Permata Hidayah

Blog ini menghimpunkan nukilan pena guru, staf dan ahli lembaga TPH berkaitan pengalaman dan perkongsian dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Moga bermanfaat buat semua.

Wednesday 9 December 2015

Slot Kursus : Modul Disiplin (Kasih sayang, Ketegasan, Ganjaran dan Hukuman)

Slot ini dikendalikan oleh Puan Noor Hayati binti Abdul Hamid. Mungkin boleh baca latar belakang beliau di bawah. :)


Catatan ringkas ini saya kongsikan ketika menghadiri Kursus Induksi Prasekolah Peda IKRAM pada November 2015. 

Apakah yang kita faham tentang disiplin? Biasanya kita akan membayangkan tentang peraturan, tingkahlaku, cara pengawalan diri, memerlukan kefahaman dan pengertian. The willingness to obey.

Imam Al-Ghazali menyebutkan bahawa anak adalah amanah, dimana hati yang suci merupakan substensi yang sangat berharga. Disinilah character building sangat penting seperti yang disebutkan dalam hadis logam yang biasa kita dengar. Ibnu Khaldun menyebutkan bahawa potensi pada diri anak masih boleh diperbaiki setelah ia rosak. Sebab itu, para pendidik harus memiliki wisdom atau kebijaksaan seperti dalam Al-Quran (28 :14). Ianya bermula dengan guru!

"Good habits are cought, not thought!"

Masalah yang sering dialami oleh anak-anak boleh dibahagikan kepada tiga iaitu :
1) biologycal (seperti pertuturan, bowel movement, dll)
2) pelajaran
3) pergaulan

Apabila kita memahami keadaan anak tersebut, lebih mudah untuk kita membantunya. Mungkin kita melihat seorang anak itu :
- suka menyendiri;
- kurang bermotivasi,
- kurang daya konsentrasi,
- bergaduh / agresif,
- degil / manja,
- tidak dapat menyiapkan kerja dalam tempoh tertentu,
- tidak yakin diri,
- kurang memahami apa yang dibaca dll

Para guru boleh mengaplikasikan  Kaedah Aliran Disiplin Yang Berjaya.
1) Role Model, dimana guru adalah contoh tauladan. Rasulullah adalah guru kita semua.
2) Mindset, iaitu membina hati dan pemikiran yang betul. Give them the best today!
3) Rutin, menetapkan kebiasaan dalam aktiviti seharian. Ini merupakan amalan untuk membina kecemerlangan.
4) Komunikasi, digunakan dengan menyentuh akal dan budi untuk pelbagai tujuan.
5) Amalan Disiplin, dengan melaksanakan pengukuhan.
6) Kasih Sayang, sifat yang akan mengatasi segala walaupun dalam situasi mencabar. You are strong if you can control your anger!

Seorang pendidik harus berdisiplin dalam memilih kata-kata. Seringlah berkongsi dengan ibubapa apa yang anak belajar pada hari tersebut. You walk the talk (Surah As-Saf : 2 -3). Cara guru mengendalikan pelajar ialah dengan anggapan pelajar tersebut bijak dan faham.

Bagaimana untuk berkomumikasi? Kita ambil panduannya dalam Al-Quran.
1) (Al-Baqarah : 83) perkataan yang baik
2) (Ali Imraan : 17) perkataan dan hati
3) (Al-Anaam : 152) adil dalam menghukum/ memahami
4) (Al-Isra' : 23) sopan santun
5) (Al-Isra' : 28) kata-kata yang amat baik
6) (Taha : 44) lemah lembut
7) (Al-Hajj : 30) jauhi dusta
8) (Al-Ahzab : 70) tepat dan benar

Kita boleh lihat jenis-jenis disiplin yang setiap satunya ada masa dan tikanya untuk digunakan bergantung kebijaksanaan guru. 
1) membiarkan sahaja,
2) mengiktiraf masalah dengan membantu pelajar separuh jalan,
3) bertanggungjawab menyelesaikan,
4) puji atas usaha baik, iaitu to invest in the power of expectation.

Guru harus berperanan mewujudkan suasana supaya seorang anak itu tahu dengan jelas had dan bentuk tingkahlaku yang boleh dan tidak boleh. Had disini contohnya,
- merah : membahayakan;
- kuning : dibenarkan, tetapi bersyarat.
- hijau : tingkahlaku yang digalakkan.

10 langkah positif untuk menerapkan disiplin adalah seperti berikut :
1) adil
2) konsisten
3) jangan rasuah anak
4) jangan buat janji kosong
5) boleh denda tetapi tidak boleh menghina
6) jangan ugut untuk tinggal mereka
7) denda setimpal dengan kesalahan
8) cakap secara profesional dan bukan berleter
9) ambil tindakan tepat pada waktunya,
10) meletakkan satu harapan yang munassabah pada pelajar

Banyak elemen yang harus guru amalkan dalam menjayakan Falsafah Pendidikan Islam yang dicita-citakan. Saya simpulkan disini, bahawa dalam aktiviti PnP seharian, guru harus ingat perkara berikut iaitu : 
- problem solving atau trouble shoot;
- membuat perancangan;
- menetapkan cara komunikasi dengan pelajar;
- dan pengawalan tingkahlaku melalui keteladanan guru.

Ia... memang banyak sungguh tugas guru pra sekolah. Hanya Allah Yang Maha Tahu. Tapi insyaAllah, the reward from Allah is big too!!

Lets do this together!

Mardhiyah Mh @ Teacher Ummi
permatahidayahkuantan.blogspot.my 


Slot Kursus : 8 KATA KUNCI PENTING DALAM FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM

Ringkasan ini dibuat dari slot Puan Fara binti Ahmad, Guru Besar Tadika Khalifah Bestari ketika saya menghadiri kursus PEDA IKRAM di Sri Kembangan 22-23 November 2015 lepas.

8 KATA KUNCI PENTING DALAM FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM

Falsafah Pendidikan Islam (FPI) menyebutkan bahawa :

“Pendidikan Islam adalah suatu proses pendidikan yang berteraskan tauhid bagi membina dan melahirkan insan rabbani yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia serta berkemampuan membentuk kehidupan diri sendiri, masyarakat, negara dan dunia sebagaimana yang dituntut oleh Al-Quran dan As-Sunnah melalui sistem pendidikan yang seimbang, menyeluruh, bersepadu dan berterusan”.

FPI inilah sebagai panduan hala tuju dan proses pendidikan di semua peringkat, walaupun kita di bidang pendidikan prasekolah. InsyaAllah, FPI berperanan memberi sokongan pada Falsafah Pendidikan Negara dengan menampung kekurangan dan menambah baik. FPI ini bukanlah kepada pelajar sahaja, tetapi kepada para pendidik itu sendiri! 

1) Tauhid.
Tauhid bererti mengesakan Allah SWT. Asas kefahaman ialah Allah, segala-galanya kerana Allah, seperti yang termaktub dalam surah Al-Ikhlas dan Al-Kafirun. Inilah asas kepada hubungan kita dengan Sang Pencipta.

Surah Al-Ikhlas :
'Katakanlah (Muhammad), Dialah Allah, Yang Maha Esa. Allah tempat meminta segala sesuatu. (Allah) tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu yang setara dengan Dia'.

2) Insan Rabbani.
Mencakupi dua kelompok; pendidik dan juga orang yang akan dididik. Sebelum seseorang guru mendidik pelajarnya menjadi insan rabbani, guru tersebut perlulah mempunyai ciri-ciri insan rabbani terlebih dahulu. Antara ciri-ciri insan rabbani seperti yang tersurat di dalam surah At-Taubah, ayat 112 ialah ;
- Orang yang bertaubat;
- Hamba yang beribadah;
- Memuji Allah;
- Mengembara iaitu menuntut ilmu dan mengembangkannya; dan
- Orang yang menjaga peraturan Allah.

3) Berilmu.
Dengan ilmulah datangnya Al-Fahmu, iaitu kefahaman. Selepas faham apa itu konsep tauhid, barulah iman akan hadir di dalam diri seseorang. Perlulah seorang guru selalu menambah ilmu untuk beri ilmu. Ilmu Allah sangat luas, ilmu utama ialah ilmu mengenal Allah.

4) Beriman.
Beriman bermaksud membenarkan dengan hati. Yakin dan percaya setulus hati dengan rukun iman yakni beriman kepada Allah, rasul, kitab-kitab, malaikat, hari akhirat dan juga qada' dan qadar. Setelah ada ilmu, barulah iman itu wujud.

5) Berakhlak mulia.
Peranan guru sebagai role model kepada masyarakat sekeliling. Menjadikan Rasulullah sebagai qudwah hasanah dan berusaha mencontohi sifat-sifat baginda yang mulia. Kemuncak kepada kefahaman dan iktikad, ialah amalan.

6) Diri sendiri / masyarakat / negara / dunia.
Besarlah harapan supaya anak didik berupaya merubah bukan sahaja dirinya, malah masyarakat, negara dan seterusnya dunia. Besar amanah, maka besarlah tanggungjawab yang akan dipikul. Berilmu secara kognitif, beriman dengan hati, jadikan akhlak mulia sebagai amalan dan seterusnya mempunyai visi atau cita-cita yang tinggi menjadikan pelajar-pelajar berdaya saing kelak insyaAllah. Bercita-cita supaya setiap kita menjadi individu soleh wa musleh yang memiliki sifat rahmatal lil alamin.

7) Sumber utama.
Acuan pendidikan islam adalah berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah. Sepertimana firman Allah di dalam surah Taha (Q20 : 2 - 3):
                      'Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (Muhammad) agar engkau menjadi susah; melainkan sebagai peringatan bagi orang yang takut kepada Allah'.


Al-Quran hendaklah dibaca dan ditadabburi. Manakala sunnah Ar-Rasul perlulah dibudayakan dalam kehidupan.

8) Sistem seimbang / menyeluruh / bersepadu / berterusan.
- Sistem seimbang, iaitu seimbang dari segi dunia dan akhirat.
- Menyeluruh, iaitu holistik. Tidak terpisah-pisah.
- Bersepadu, integrasi pembelajaran.
- Berterusan; istiqomah.



FPI ini adalah proses untuk membina tamadun, dengan tahapan-tahapan dan berlaku sepanjang hayat. Ialah menerapkan elemen Akidah Merentasi Kurikulum (AMK) dalam setiap pengajaran dan pembelajaran. Guru juga boleh menerapkan 10 muwassafat dalam membentuk kemenjadian diri pelajar.


Semoga kita berjaya mencapai dan membudayakan falsafah pendidikan islam ini di tadika kita. Bersama menjaga dan mendidik amanah yang telah dipilih Allah untuk kita, insyaAllah.


Salam sayang,

Cikgu Ros
permatahidayahkuantan.blogspot.my



Slot Kursus : Sahsiah Guru Pra Sekolah.

Alhamdulillah, pada 22 November yang lepas saya telah mengikuti Kursus Induksi Prasekolah Peda IKRAM yang telah diadakan di Pejabat Pertubuhan Ikram Malaysia. Catatan perkongsian ini saya ringkaskan dari slot Puan Hjh Nailah Tang, Pengurus Iman Elc Sdn Bhd. Tajuk perkongsian Puan Nailah ialah Sahsiah Guru Pra Sekolah.

Sebelum kita adalah apa-apa, yang utama ialah sebagai hamba Allah seperti dalam firmanNya Al-Ana'am :165.

Misi kita para guru lebih besar, lebih agung, tak cukup sekadar mengajar, menulis dan membaca sahaja. Misi pendidikan kita mengajak keluar dari kesempitan dunia, kepada keluasan akhirat. Abdullah Nasih Ulwan (1994) menuliskan bahawa pembangunan sahsiah terdiri dari 4 unsur dasar, iaitu pembinaan aqidah, ibadah, akhlak dan penampilan.

Prof Omar Al-Toumi Al-Syibani menyebutkan sifat yang harus ada pada seorang guru muslim ialah :

 sifat kerohanian : iaitu keimanan yang kental kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat. Di sana ada yang mencatat!

sifat akhlak : diantaranya termasuklah penyayang, sabar, amanah dan ikhlas. Mestilah bercakap benar dan ju
jur, menepati janji, mendahulukan orang lain, cekal dan tabah.


sifat fizikal : sihat tubuh badan, menutup aurat, perwatakan bersih dan kemas.
.

sifat mental/cara berfikir : cergas, cenderung kepada pelbagai bidang, luas pengetahuan am, berfikiran positif, menguasai matapelajaran dan mengenal ciri atau watak dan keperluan/ kecenderungan anak, bijak dan petah dalam penyampaian.

sifat kejiwaan : selalu tenang, optimistik, mempunyai kemahuan yang kuat dan perasaan rahmah kepada anak.

Sesungguhnya segala tindak tanduk saya kepada anak didik akan mengesani kehidupan mereka. G uru adalah qudwah, kerana bahasa qudwah lebih berkesan daripada bahasa lisan.

The most important characteristic for teacher of early childhood development is ENTHUSIASM AND PASSION FOR CHILDREN. Wanting to make a difference to each and every child. And to have the drive to unlock every child's door to learning.

Tanggungjawab dan cabaran guru adalah luas :
terhadap anak didik
    - mengutamakan kebajikan dan keselamatan anak;
    - bersikap adil terhadap setiap orang;
    - berpakaian, pertuturan, tingkahlaku sebagai qudwah hasanah;
    - membuat persediaan mengajar;
    - meningkatkaan kecekapan dalam pengajaran;
    - bertugas sebagai pengganti ibubapa;
    - tumpu perhatian terhadap keperluan setiap pelajar;
    - mendidik dan ambil tindakan secara adil.

terhadap ibu bapa

 terhadap masyarakat 

 terhadap rakan sekerja 
     - elak dari merendahkan;
     - tidak melibatkan diri dengan kegiatan yang mengurangkan kecekapan sebagai guru;
     - rajin dan bersungguh;
     - sentiasa membantu sesama;
     - mengawasi diri.

 terhadap diri 
     - keselamatan diri;
     - prihatin terhadap diri;
     - fahami kekuatan dan kelemahan diri untuk dipertingkatkan;
     - tingkatkan ilmu, skil dan kemahiran.
Dengan ini marilah kita sama-sama  memperbaiki diri dan meningkatkan lagi usaha mendekatkan diri dan memahami anak-anak. Semoga peroleh kejayaan di dunia dan akhirat kelak... amin Ya Rabb.

Amal anak didik saya menjadi saham akhirat saya!

Cikgu Shira.
permatahidayahkuantan.blogspot.my

Saturday 17 October 2015

Ceritera Ha Hi Hu bersama 5 Al-Khawarizme

Cikgu Ros : Siapa yang jadikan hutan?

Pelajar-pelajar : Allah..


Cikgu Ros : Kenapa Allah jadikan hutan?


Medeeha : sebab untuk pergi berkelah!

Adham : sebab haiwan makan rumput!

Umar : sebab boleh pergi memburu!


MasyaAllah! nampak tak sel-sel otak sedang berhubung tu? Hebat-hebat belaka jawapan anak-anak kecil ini..


Yeke hebat? Jom cek balik;


1) Sebab untuk pergi berkelah!




Betul lah! Bukankah ada hutan simpan di negara kita? Hutan simpan ini dipelihara supaya manusia boleh meneroka tentang alam semulajadi. Mengkaji dan memerhati hidupan flora dan fauna. Bukankah air terjun banyak terdapat di dalam hutan? Ya Medeeha! Cikgu pernah pergi berkelah di Hutan Lipur Lata Tembakah di Besut, Terengganu suatu ketika dahulu. Menikmati panorama air terjun yang sungguh indah.. Subhanallah! Tak terungkap dengan kata-kata betapa hebatnya ciptaan Allah s.w.t. Biarlah gambar yang berbicara..





2) Sebab haiwan makan rumput!


Eh eh, apa kena mengena dengan makan rumput ni ya? Ha... untuk mendapat jawapan ini, kita perlu luaskan minda untuk fikir seperti yang difahami anak. Perkataan 'hutan' memang sinonim dengan pokok dan tumbuhan kan? Jadi rumput juga sejenis tumbuhan kan! Ha.. rumput atau pokok renek yang tumbuh melata di dalam hutan ini boleh dijadikan makanan untuk haiwan-haiwan herbivor dan omnivor bak kata Adham tadi.. Bagus kerana berani mencuba Adham!


3) Sebab boleh pergi memburu!


Ohoho... inilah jawapan paling 'rare' pada hari ini.. Yes exactly correct Umar! Bukahkah hutan menjadi habitat bagi pelbagai jenis haiwan? Adakah Allah menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia? Sudah tentu tidak! Jadi rebutlah peluang yang ada wahai pencinta buruan. Tetapi mestilah melalui cara yang betul dan mempunyai lesen untuk berburu ya!



Nampakkan betapa kreatif dan pelbagainya jawapan anak-anak ini? Sedangkan niat cikgu bertanya soalan itu hanyalah mengharapkan jawapan yang satu iaitu 'sebagai habitat haiwan'. Inilah yang seronoknya apabila mempraktikkan aktiviti soal jawab, sebab selain cikgu yang memberi ilmu, cikgu juga menerima ilmu dari anak-anak cilik ini..


Itu baru tiga orang yang jawab (sebab pelajar lain sedang tekun membuat latihan.. hehe).


Jikalau kesemua enam belas orang yang jawab? Memang naik bengkak tangan cikgu menaip jawapan satu persatu di sini kan?


Hehe.. jumpa lagi!


Salam sayang,
Cikgu Ros

                                                          permatahidayahkuantan.blogspot.my

Sunday 11 October 2015

Tips PnP Berkesan

Ingin tahu tips bagi menghidupkan suasana kelas dengan mendapat impak yang sangat positif? Teruskan membaca. Ini adalah berdasarkan pengalaman saya yang setahun jagung menceburkan diri di dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak ini.

Situasi 1:


Guru di hadapan kelas dan pelajar duduk di tempat masing-masing (kerusi dan meja). Guru memulakan proses pembelajaran. Menulis suku kata di papan putih dan meminta pelajar menyebut sebaik sahaja disebut guru. Diselang selikan dengan mencari perkataan yang bermula dengan suku kata tersebut. 


Impak: nampak seperti menarik tetapi kebanyakan pelajar hanya boleh menyebut suku kata semasa proses pembelajaran itu sahaja dan sudah tidak boleh membaca/mengenal di akhir kelas.


Situasi 2:
Guru turut menyertai pelajar di dalam satu bulatan besar. Guru menulis suku kata di atas kertas dan meminta pelajar cuba menyebut. Contoh : 'na' di dalam tulisan jawi. Kemudian setiap pelajar disuakan kertas suku kata tadi untuk menyebut mengikut intonasi yang disukai, bermula dengan pelajar pertama yang boleh membaca suku kata yang ditulis guru tadi. Langkah ini sebagai tanda penghargaan kepada beliau. Kemudian semua pelajar melihat latihan di dalam buku masing-masing gambar apa yang bermula dengan suku kata 'na'. Lantas pelajar menjawab 'nasi' dan terus bersama menyuaipadankan suku kata tersebut dengan gambar nasi. Perlu tunggu sehingga semua pelajar menyiapkannya. Buat bersama sama pelajar. Diikuti dengan suku kata 'ni' dan juga 'nu' dengan kaedah yang sama.

Impak: pelajar seronok apabila dapat menyebut suku kata dengan gaya yang tersendiri. Rasa dihargai apabila kawan-kawan bersama-sama menunggu sehingga setiap orang selesai. Berjuang secara berjamaah.... :) Hampir kesemua pelajar boleh membaca dan membezakan suku kata 'na', 'ni', dan juga 'nu' di akhir kelas tanpa bantuan guru.


Kesimpulan: keterlibatan guru bersama pelajar secara langsung dan juga tidak langsung memainkan peranan yang penting bagi menjayakan PnP seperti yang dirancang. Semoga bermanfaat, selamat mencuba!


**p/s: tips di atas telah diuji sewaktu kelas Tulisan Jawi bagi pelajar 5 tahun. Dengan harapan yang besar supaya pelajar boleh menerima konsep dan boleh membaca suku kata tersebut bila-bila masa. Jangan berkubur di akhir kelas sahaja ya! :)



Salam Sayang,

Cikgu Ros
permatahidayahkuantan.blogspot.my

Sunday 4 October 2015

Kenapa Melukis?

          Satu budaya yang kami terapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di Tadika Permata Hidayah (TPH) ialah budaya melukis. Alhamdulillah, sudah dilazimkan sejak awal penubuhan lagi, kami sering memberikan kertas kosong kepada pelajar terutama untuk aktiviti pengukuhan. Mulanya mereka sangsi. Mulanya mereka tidak yakin diri. Tapi akhirnya mereka dapat membuktikan yang mereka mampu melukis pelbagai tema menggunakan pelbagai alat.

       Malah dalam buku kerja kami juga, halaman bercetak dan halaman kosong diselang-selikan. Kenapa? Supaya guru tidak terikat dengan buku kerja dan pelajar bebas mengekspresikan diri melalui lukisan apabila diminta. Para guru berusaha untuk mempelbagaikan kaedah belajar. Salah satu kaedah yang digunakan ialah dengan melukis. Paling asas, yang diperlukan ialah kertas kosong, pensil, imaginasi dan galakkan guru. Pelajar TPH belajar bahasa, tulisan jawi, matematik malah iqra' juga menggunakan kaedah melukis.



      Pengalaman hampir 4 tahun saya di Germany menghantar anak bersekolah disana banyak membantu. Tidak dapat saya lupakan, guru anak saya memanggil untuk berjumpa dengannya di suatu petang. Pelbagai sangkaan yang tadinya bermain difikiran terus hilang ketika guru itu menunjukkan hasil lukisan anak-anak saya yang tika itu masing-masing baru berusia 2 dan 4 tahun. Beliau bercerita pada saya dengan begitu bersemangat. Tadinya persepsi saya itu adalah contengan, berubah kepada perasaan bangga seorang ibu. Bagaikan lukisan paling indah di dunia!

         Saya kini memahami, bahawa yang penting adalah proses ketika menyiapkan lukisan tersebut. Fikiran. Imaginasi. Memahami suasana. Pemerhatian. Itulah kemahiran yang ingin dipupuk. Tidak kurang pentingnya, adalah bagaimana komunikasi atau perbualan dengan anak dapat dibentuk dari lukisan tersebut.

        Keperntingan kepada kertas dan pena ini juga saya temui dalam buku "Cinta Di Rumah Hassan Al-Banna". Dalam buku tersebut, menceritakan bagaimana ayah As-Syahid Imam HAB sering memberinya kertas untuk menjana idea, baik dalam bentuk lukisan maupun tulisan.


Alhamdulillah, tahun ini adalah keluaran pertama anak TPH yang menjalani pendidikan selama 3 tahun di sini. Bermula usia 4 tahun hingga ke 6 tahun membesar bersama kami. Kami dapat melihat perkembangan positif keupayaan melukis sesuai dengan proses tumbesaran mereka. Para guru pasti mengingati Wahyu yang dahulunya menggambarkan sistem solar dengan garisan dan pangkah cuma, kini dapat melukis secara detail dan ekspresif. Kami yakin, melalui melukis ianya merupakan refleksi pemikiran anak-anak dan alat komunikasi yang berkesan.


Jom melukis!

Mardhiyah mh Teacher Ummi
permatahidayahkuantan.blogspot.my

Saturday 3 October 2015

Cinta Yang Sempurna...


Di sini lahirnya sebuah cinta..
Di taman kecil..
Di daerah kecil..
Aku membawa diri yang kerdil..

Di sini lahirnya sebuah cinta..
Bersama anak anak comel..
Riang bersenda tiada dosa..
Pagi ke petang tiada lelahnya..

Di sini lahirnya sebuah cinta..
Kadang merajuk pantas dipujuk..
Asal berlembut terus dipeluk..
Kasih bertaut cinta berpupuk..

Di sini lahirnya sebuah cinta..
Rindu di kejauhan..
Dekat berselisihan..
Asal ketiadaan..
Tiada lekang persoalan..

Di sini lahirnya sebuah cinta..
Tersemai indah ikatan terbina..
Di bajai ukhuwwah begitu subur..
Agar menjadi saham bersama..
Bertemu Pencipta yang maha Esa..
Cinta yang sempurna...

Salam sayang
-Cikgu Ros-
permatahidayahkuantan.blogspot.my

Hasilkan sesuatu yang hebat!

Setiap petang rutinku menyiram pokok-pokok di tadika. Ada yang ditanam oleh pelajar, dan ada yang ditanam guru. Dahulunya cuma benih kecil, kini telah tumbuh besar dan mengeluarkan hasil. Telahpun aku menjadi saksi. Sepanjang pembesarannya aku melihat akan keajaiban dan kebesaran yang dihantar oleh Sang Pencipta. Dialah Yang Maha Menghidupkan. Dialah Yang Maha Mematikan.



Aku berfikir sejenak. Memerhati dan mentaddabbur setiap pokok ini.
Dush! Lalu teringat Surah Ar-Rahman yang berbunyi, "maka nikmat tuhanmu yang manakah kamu dustakan.."

Allahu... tersentap sebagai hambaNya yang sangat dhoif akan ilmuNya yang luas. Sungguh nikmat yang diberikan tidak dapat digambarkan melalui nukilan ini. Bermula dari pembentukannya. Warnanya. Saiznya. Sungguh semua ini adalah rahsiaNya. Sesungguhnya setiap hasilnya amat bermanfaat kepada semua hidupan di atas muka bumi ini.


Sama juga apa yang ku lihat pada anak-anak yang Allah telah hantar di tadika ini. Mereka diibarat benih yang mula-mula ditanam. Yang perlu dijaga. Yang perlu dibelai dengan kasih sayang. Yang perlu disiram. Yang perlu dirawat ketika sakit. Yang perlu diperhatikan setiap masa agar hasil yang dikeluarkan nanti boleh dimanfaatkan oleh semua hidupan di atas muka bumi ini!



Jadi, ayuhlah kita menjadi penanam pokok a.k.a cikgu yang boleh menghasilkan acuan-acuan benih yang bermanfaat dan mengeluarkan hasil berkualiti tinggi kepada hidupan sekeliling. Ayuh kita menjadi seorang guru yang menghasilkan anak murid yang apabila besarnya kelak akan bermanfaat kpd ummah, masyarakat serta dunianya...


Cikgu Zai,
permatahidayahkuantan.blogspot.my

Thursday 1 October 2015

Aku Cikgu Baru

          Di satu kawasan perumahan yang tenang lagi mendamaikan terdapat sebuah tadika islam, namanya Tadika Permata Hidayah.  Disinilah tempat aku mencari rezeki.  Dipilih oleh Allah untuk mendidik anak-anak comel seramai 41 orang. Perjalanan ini bermula pada Isnin, 11 Mei 2015 bersamaan 22 Rejab 1436H.




           Permulaan yang tidak ku sangka sangat meriah dengan kehadiran anak-anak comel lagi periang. Setiap pagi mereka menyambut aku dengan penuh keikhlasan dan teruja sekali. Begitu jelas diraut wajah polos mereka. Alhamdulillah! Aku sangat bertuah, kerana walaupun baru seminggu lapor diri sudah dapat pelbagai hadiah daripada anak-anak ini. 

 "Apa yang istimewanya aku?", fikirku sejenak.  

             Hmm rupa-rupanya 16 Mei adalah sambutan Hari Guru. Gembira aku yang baru bergelar seorang guru telah dibanjiri dengan pelbagai hadiah daripada anak-anak ini.&nbsp Walaupun sebenarnya aku baru satu minggu berkhidmat di sini. Semoga Allah s.w.t redha dengan jalan yang aku pilih ini. Moga Allah selalu membimbingku untuk menunaikan amanah guru dengan sebaiknya.


Teacher Mimie
permatahidayahkuantan.blogspot.my


Monday 28 September 2015

Anak Didikku...

Tawa kalian
Riang hatiku
Senyum kalian
Hilang amarahku

Sejuk hati ini
Melihat telatahmu
Wahai anak didikku
Kaulah pengubat
Kesedihanku

Kala malam
teringat gelagatmu
membuat diriku
tersenyum selalu

Diri ini tidak jemu-jemu
mendoakan kesejahteraan hidupmu
Semoga kalian bahagia selalu
Dalam menempuh liku kehidupanmu

Ini saja coretan dariku
Semoga Allah membimbingku 
Dalam mendidik dan mengasuhmu
Dengan kesabaran tak pernah jemu

Sekian dariku,
Cikgu Shira
permatahidayahkuantan.blogspot.my

Aku Seorang Guru Tadika

Kusangka mudah
Rupanya susah
Kusangka mudah
Rupanya lelah
Kusangka mudah
Rupanya payah

Namun...
Waktu berlalu
Hari silih berganti
Baruku tahu

Yang susah itulah pahala
Yang lelah itulah pahala
Yang payah itulah pahala

Betapa sayangnya Allah padaku
Dikurniakan anak-anak
Pelbagai karenah
Pelbagai ragam
Pelbagai karakter

Supaya aku susuri
Supaya aku suluhi
Supaya aku santuni

Yang pasti
Inilah pilihanku
Inilah jalanku
Jalan yang menuntut kesabaran
Jalan yang menuntut pengorbanan

Akan kuperjuangkan selagi mampuku..
Jalan ke syurga ini..
InsyaAllah.

Salam sayang,
Cikgu Ros
permatahidayahkuantan.blogspot.my

Ibrah Si Cili Padi

Alkisahnya di tadika, ada program menanam. Program ini bertujuan untuk mendekatkan diri para pelajar dengan alam sekitar disamping menginsafi kehebatan Allah Yang Maha Mencipta. Jadi bermulalah episod menanam. Pelbagai jenis sayuran yang kami cuba tanam.. Dari bendi, tomato, cili hinggalah ke pokok menjalar seperti timun dan juga kacang panjang. Nak menunjukkan Allah Maha Menumbuhkan dan Mematikan, hanya pokok tomato dan bendi sahaja yang tumbuh! Pokok lain semuanya tak menjadi. Sabarlah duhai hati.... lantas aku ulang tanam polibag yang kosong dengan bendi dan cili sahaja.





Alhamdulillah, berkat kegigihan pokok telah tumbuh dengan jayanya dan ketika aku sedang menulis kisah ini, pokok-pokok bendi sudah boleh dituai hasilnya...

Semasa proses tumbesaran pokok cili, aku sedikit teruja kerana belum ada pengalaman menanam cili sebelum ini.... hehehe. Makanya, setiap hari sewaktu menyiram pokok-pokok ini aku akan memerhati setiap inci perubahannya tanpa jemu. Dan sudah semestinya, pokok yang paling tinggi dan besar menjadi tumpuan utama...

"haih... bilalah pokok ni nak berbuah".

Bermonolog aku dipagi hari... dan tibalah hari yang dinanti, sedang ralit menyiram pokok-pokok ini, tiba-tiba mataku terpandang cili yang baru berputik buahnya!

"oh... akhirnya!", bisikku.

Tetapi ternyata yang berbuah itu bukanlah dari pokok yang diberi tumpuan itu! Sebaliknya, datang dari pokok paling kecil dan rendah! MasyaAllah. Allah ingin menegurku... Allah ingin menyampaikan sesuatu... Teguran yang sangat mendalam dan terkesan dijiwaku...

Mungkin dalam mendidik, ada anak-anak (aku lebih suka membahasakan pelajar-pelajarku dengan gelaran ini) yang cemerlang, dan ada yang kurang menyerlah. Ada anak-anak yang mudah diurus, dan tidak kurang juga yang sangat mencabar dan menguji kesabaranku.... Nah! inilah ibrahnya dari si cili padi tadi. Tidak semestinya yang besar, yang subur, yang tinggi akan mengeluarkan hasil dahulu... Begitulah simboliknya dengan anak-anak syurgaku ini...

Allahu Rabbi. Mungkin dalam mendidik, aku salah menilai. Mungkin aku ada silap dimana-mana. Terima kasih Allah atas teguranmu ini... Akan kuabadikan disini supaya menjadi peringatan padaku dan pengajaran pada kalian yang membacanya. Semoga anak-anak syurgaku ini berjaya di dunia dan akhirat kelak.. Amin.

Salam sayang,
Cikgu Ros
permatahidayahkuantan.blogspot.my


Selamat Datang ke Blog TPH

               Alhamdulillah, mengorak selangkah lagi ke hadapan Tadika Permata Hidayah memulakan blog ini dengan penuh semangat dan keazaman. Blog TPH akan mengumpulkan cerita - luahan rasa - puisi - ringkasan buku - laporan - dan pelbagai lagi bentuk penulisan para guru, staf dan ahli lembaga TPH sepanjang berkhidmat disini. Harapan kami, semoga mutiara-mutiara indah anugerah Allah s.w.t ini dapat memberikan kami banyak manfaat dan juga pada para pembaca, khususnya ibubapa dan para warga pendidik yang lain. Sesungguhnya bidang pendidikan anak-anak pra sekolah adalah suatu bidang yang penting dalam meletakkan batu asas kepada nilai-nilai rabbani dalam diri seorang anak. 

               Mari bersama kami membangunkan anak-anak dengan peribadi muslim unggul yang bermanfaat buat agama dan negaranya. Moga Allah meredhai usaha ini dan menjadi amalan soleh yang berterusan pahalanya.

"Insan Rabbani Pintar Ceria Taqwa"

Mardhiyah Mh @ Teacher Ummi
Guru Besar TPH
Sept 2015