No. 2, Jalan Kampung Padang Sejahtera 2, Taman Kampung Padang Sejahtera, 25200 Kuantan, Pahang.
Tel : 019-9555028 FB : Tadika Permata Hidayah

Blog ini menghimpunkan nukilan pena guru, staf dan ahli lembaga TPH berkaitan pengalaman dan perkongsian dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Moga bermanfaat buat semua.

Saturday 17 October 2015

Ceritera Ha Hi Hu bersama 5 Al-Khawarizme

Cikgu Ros : Siapa yang jadikan hutan?

Pelajar-pelajar : Allah..


Cikgu Ros : Kenapa Allah jadikan hutan?


Medeeha : sebab untuk pergi berkelah!

Adham : sebab haiwan makan rumput!

Umar : sebab boleh pergi memburu!


MasyaAllah! nampak tak sel-sel otak sedang berhubung tu? Hebat-hebat belaka jawapan anak-anak kecil ini..


Yeke hebat? Jom cek balik;


1) Sebab untuk pergi berkelah!




Betul lah! Bukankah ada hutan simpan di negara kita? Hutan simpan ini dipelihara supaya manusia boleh meneroka tentang alam semulajadi. Mengkaji dan memerhati hidupan flora dan fauna. Bukankah air terjun banyak terdapat di dalam hutan? Ya Medeeha! Cikgu pernah pergi berkelah di Hutan Lipur Lata Tembakah di Besut, Terengganu suatu ketika dahulu. Menikmati panorama air terjun yang sungguh indah.. Subhanallah! Tak terungkap dengan kata-kata betapa hebatnya ciptaan Allah s.w.t. Biarlah gambar yang berbicara..





2) Sebab haiwan makan rumput!


Eh eh, apa kena mengena dengan makan rumput ni ya? Ha... untuk mendapat jawapan ini, kita perlu luaskan minda untuk fikir seperti yang difahami anak. Perkataan 'hutan' memang sinonim dengan pokok dan tumbuhan kan? Jadi rumput juga sejenis tumbuhan kan! Ha.. rumput atau pokok renek yang tumbuh melata di dalam hutan ini boleh dijadikan makanan untuk haiwan-haiwan herbivor dan omnivor bak kata Adham tadi.. Bagus kerana berani mencuba Adham!


3) Sebab boleh pergi memburu!


Ohoho... inilah jawapan paling 'rare' pada hari ini.. Yes exactly correct Umar! Bukahkah hutan menjadi habitat bagi pelbagai jenis haiwan? Adakah Allah menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia? Sudah tentu tidak! Jadi rebutlah peluang yang ada wahai pencinta buruan. Tetapi mestilah melalui cara yang betul dan mempunyai lesen untuk berburu ya!



Nampakkan betapa kreatif dan pelbagainya jawapan anak-anak ini? Sedangkan niat cikgu bertanya soalan itu hanyalah mengharapkan jawapan yang satu iaitu 'sebagai habitat haiwan'. Inilah yang seronoknya apabila mempraktikkan aktiviti soal jawab, sebab selain cikgu yang memberi ilmu, cikgu juga menerima ilmu dari anak-anak cilik ini..


Itu baru tiga orang yang jawab (sebab pelajar lain sedang tekun membuat latihan.. hehe).


Jikalau kesemua enam belas orang yang jawab? Memang naik bengkak tangan cikgu menaip jawapan satu persatu di sini kan?


Hehe.. jumpa lagi!


Salam sayang,
Cikgu Ros

                                                          permatahidayahkuantan.blogspot.my

Sunday 11 October 2015

Tips PnP Berkesan

Ingin tahu tips bagi menghidupkan suasana kelas dengan mendapat impak yang sangat positif? Teruskan membaca. Ini adalah berdasarkan pengalaman saya yang setahun jagung menceburkan diri di dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak ini.

Situasi 1:


Guru di hadapan kelas dan pelajar duduk di tempat masing-masing (kerusi dan meja). Guru memulakan proses pembelajaran. Menulis suku kata di papan putih dan meminta pelajar menyebut sebaik sahaja disebut guru. Diselang selikan dengan mencari perkataan yang bermula dengan suku kata tersebut. 


Impak: nampak seperti menarik tetapi kebanyakan pelajar hanya boleh menyebut suku kata semasa proses pembelajaran itu sahaja dan sudah tidak boleh membaca/mengenal di akhir kelas.


Situasi 2:
Guru turut menyertai pelajar di dalam satu bulatan besar. Guru menulis suku kata di atas kertas dan meminta pelajar cuba menyebut. Contoh : 'na' di dalam tulisan jawi. Kemudian setiap pelajar disuakan kertas suku kata tadi untuk menyebut mengikut intonasi yang disukai, bermula dengan pelajar pertama yang boleh membaca suku kata yang ditulis guru tadi. Langkah ini sebagai tanda penghargaan kepada beliau. Kemudian semua pelajar melihat latihan di dalam buku masing-masing gambar apa yang bermula dengan suku kata 'na'. Lantas pelajar menjawab 'nasi' dan terus bersama menyuaipadankan suku kata tersebut dengan gambar nasi. Perlu tunggu sehingga semua pelajar menyiapkannya. Buat bersama sama pelajar. Diikuti dengan suku kata 'ni' dan juga 'nu' dengan kaedah yang sama.

Impak: pelajar seronok apabila dapat menyebut suku kata dengan gaya yang tersendiri. Rasa dihargai apabila kawan-kawan bersama-sama menunggu sehingga setiap orang selesai. Berjuang secara berjamaah.... :) Hampir kesemua pelajar boleh membaca dan membezakan suku kata 'na', 'ni', dan juga 'nu' di akhir kelas tanpa bantuan guru.


Kesimpulan: keterlibatan guru bersama pelajar secara langsung dan juga tidak langsung memainkan peranan yang penting bagi menjayakan PnP seperti yang dirancang. Semoga bermanfaat, selamat mencuba!


**p/s: tips di atas telah diuji sewaktu kelas Tulisan Jawi bagi pelajar 5 tahun. Dengan harapan yang besar supaya pelajar boleh menerima konsep dan boleh membaca suku kata tersebut bila-bila masa. Jangan berkubur di akhir kelas sahaja ya! :)



Salam Sayang,

Cikgu Ros
permatahidayahkuantan.blogspot.my

Sunday 4 October 2015

Kenapa Melukis?

          Satu budaya yang kami terapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di Tadika Permata Hidayah (TPH) ialah budaya melukis. Alhamdulillah, sudah dilazimkan sejak awal penubuhan lagi, kami sering memberikan kertas kosong kepada pelajar terutama untuk aktiviti pengukuhan. Mulanya mereka sangsi. Mulanya mereka tidak yakin diri. Tapi akhirnya mereka dapat membuktikan yang mereka mampu melukis pelbagai tema menggunakan pelbagai alat.

       Malah dalam buku kerja kami juga, halaman bercetak dan halaman kosong diselang-selikan. Kenapa? Supaya guru tidak terikat dengan buku kerja dan pelajar bebas mengekspresikan diri melalui lukisan apabila diminta. Para guru berusaha untuk mempelbagaikan kaedah belajar. Salah satu kaedah yang digunakan ialah dengan melukis. Paling asas, yang diperlukan ialah kertas kosong, pensil, imaginasi dan galakkan guru. Pelajar TPH belajar bahasa, tulisan jawi, matematik malah iqra' juga menggunakan kaedah melukis.



      Pengalaman hampir 4 tahun saya di Germany menghantar anak bersekolah disana banyak membantu. Tidak dapat saya lupakan, guru anak saya memanggil untuk berjumpa dengannya di suatu petang. Pelbagai sangkaan yang tadinya bermain difikiran terus hilang ketika guru itu menunjukkan hasil lukisan anak-anak saya yang tika itu masing-masing baru berusia 2 dan 4 tahun. Beliau bercerita pada saya dengan begitu bersemangat. Tadinya persepsi saya itu adalah contengan, berubah kepada perasaan bangga seorang ibu. Bagaikan lukisan paling indah di dunia!

         Saya kini memahami, bahawa yang penting adalah proses ketika menyiapkan lukisan tersebut. Fikiran. Imaginasi. Memahami suasana. Pemerhatian. Itulah kemahiran yang ingin dipupuk. Tidak kurang pentingnya, adalah bagaimana komunikasi atau perbualan dengan anak dapat dibentuk dari lukisan tersebut.

        Keperntingan kepada kertas dan pena ini juga saya temui dalam buku "Cinta Di Rumah Hassan Al-Banna". Dalam buku tersebut, menceritakan bagaimana ayah As-Syahid Imam HAB sering memberinya kertas untuk menjana idea, baik dalam bentuk lukisan maupun tulisan.


Alhamdulillah, tahun ini adalah keluaran pertama anak TPH yang menjalani pendidikan selama 3 tahun di sini. Bermula usia 4 tahun hingga ke 6 tahun membesar bersama kami. Kami dapat melihat perkembangan positif keupayaan melukis sesuai dengan proses tumbesaran mereka. Para guru pasti mengingati Wahyu yang dahulunya menggambarkan sistem solar dengan garisan dan pangkah cuma, kini dapat melukis secara detail dan ekspresif. Kami yakin, melalui melukis ianya merupakan refleksi pemikiran anak-anak dan alat komunikasi yang berkesan.


Jom melukis!

Mardhiyah mh Teacher Ummi
permatahidayahkuantan.blogspot.my

Saturday 3 October 2015

Cinta Yang Sempurna...


Di sini lahirnya sebuah cinta..
Di taman kecil..
Di daerah kecil..
Aku membawa diri yang kerdil..

Di sini lahirnya sebuah cinta..
Bersama anak anak comel..
Riang bersenda tiada dosa..
Pagi ke petang tiada lelahnya..

Di sini lahirnya sebuah cinta..
Kadang merajuk pantas dipujuk..
Asal berlembut terus dipeluk..
Kasih bertaut cinta berpupuk..

Di sini lahirnya sebuah cinta..
Rindu di kejauhan..
Dekat berselisihan..
Asal ketiadaan..
Tiada lekang persoalan..

Di sini lahirnya sebuah cinta..
Tersemai indah ikatan terbina..
Di bajai ukhuwwah begitu subur..
Agar menjadi saham bersama..
Bertemu Pencipta yang maha Esa..
Cinta yang sempurna...

Salam sayang
-Cikgu Ros-
permatahidayahkuantan.blogspot.my

Hasilkan sesuatu yang hebat!

Setiap petang rutinku menyiram pokok-pokok di tadika. Ada yang ditanam oleh pelajar, dan ada yang ditanam guru. Dahulunya cuma benih kecil, kini telah tumbuh besar dan mengeluarkan hasil. Telahpun aku menjadi saksi. Sepanjang pembesarannya aku melihat akan keajaiban dan kebesaran yang dihantar oleh Sang Pencipta. Dialah Yang Maha Menghidupkan. Dialah Yang Maha Mematikan.



Aku berfikir sejenak. Memerhati dan mentaddabbur setiap pokok ini.
Dush! Lalu teringat Surah Ar-Rahman yang berbunyi, "maka nikmat tuhanmu yang manakah kamu dustakan.."

Allahu... tersentap sebagai hambaNya yang sangat dhoif akan ilmuNya yang luas. Sungguh nikmat yang diberikan tidak dapat digambarkan melalui nukilan ini. Bermula dari pembentukannya. Warnanya. Saiznya. Sungguh semua ini adalah rahsiaNya. Sesungguhnya setiap hasilnya amat bermanfaat kepada semua hidupan di atas muka bumi ini.


Sama juga apa yang ku lihat pada anak-anak yang Allah telah hantar di tadika ini. Mereka diibarat benih yang mula-mula ditanam. Yang perlu dijaga. Yang perlu dibelai dengan kasih sayang. Yang perlu disiram. Yang perlu dirawat ketika sakit. Yang perlu diperhatikan setiap masa agar hasil yang dikeluarkan nanti boleh dimanfaatkan oleh semua hidupan di atas muka bumi ini!



Jadi, ayuhlah kita menjadi penanam pokok a.k.a cikgu yang boleh menghasilkan acuan-acuan benih yang bermanfaat dan mengeluarkan hasil berkualiti tinggi kepada hidupan sekeliling. Ayuh kita menjadi seorang guru yang menghasilkan anak murid yang apabila besarnya kelak akan bermanfaat kpd ummah, masyarakat serta dunianya...


Cikgu Zai,
permatahidayahkuantan.blogspot.my

Thursday 1 October 2015

Aku Cikgu Baru

          Di satu kawasan perumahan yang tenang lagi mendamaikan terdapat sebuah tadika islam, namanya Tadika Permata Hidayah.  Disinilah tempat aku mencari rezeki.  Dipilih oleh Allah untuk mendidik anak-anak comel seramai 41 orang. Perjalanan ini bermula pada Isnin, 11 Mei 2015 bersamaan 22 Rejab 1436H.




           Permulaan yang tidak ku sangka sangat meriah dengan kehadiran anak-anak comel lagi periang. Setiap pagi mereka menyambut aku dengan penuh keikhlasan dan teruja sekali. Begitu jelas diraut wajah polos mereka. Alhamdulillah! Aku sangat bertuah, kerana walaupun baru seminggu lapor diri sudah dapat pelbagai hadiah daripada anak-anak ini. 

 "Apa yang istimewanya aku?", fikirku sejenak.  

             Hmm rupa-rupanya 16 Mei adalah sambutan Hari Guru. Gembira aku yang baru bergelar seorang guru telah dibanjiri dengan pelbagai hadiah daripada anak-anak ini.&nbsp Walaupun sebenarnya aku baru satu minggu berkhidmat di sini. Semoga Allah s.w.t redha dengan jalan yang aku pilih ini. Moga Allah selalu membimbingku untuk menunaikan amanah guru dengan sebaiknya.


Teacher Mimie
permatahidayahkuantan.blogspot.my