No. 2, Jalan Kampung Padang Sejahtera 2, Taman Kampung Padang Sejahtera, 25200 Kuantan, Pahang.
Tel : 019-9555028 FB : Tadika Permata Hidayah

Blog ini menghimpunkan nukilan pena guru, staf dan ahli lembaga TPH berkaitan pengalaman dan perkongsian dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Moga bermanfaat buat semua.

Tuesday 1 June 2021

Ringkasan Sembang Santai #1 bersama PEDA IkramMusleh

        



        Alhamdulillah bertepatan dengan bermulanya PKP Penuh di seluruh negara pada Selasa, 1 Jun 2021, telah berlangsungnya acara Sembang Santai Tadika PEDA IKRAM-Musleh. Majlis ringkas ini telah dihadiri oleh 28 orang pengusaha/ pengurus/ guru besar Tadika-Taska Peda IKRAM-MUSLEH seluruh Malaysia.

        Objektif utama pertemuan sulung ini adalah bagi memberi ruang kepada akhawat Peda untuk saling berkongsi dan reach out memandangkan keadaan pandemik Covid-19 ini belum menunjukkan tanda-tanda surut dalam jangka masa terdekat. Oleh sebab itu, perjumpaan ini adalah untuk menguatkan tunggak kepimpinan di institusi masing-masing dan mengenalpasti isu untuk dibantu secara bersama.

        Urusetia Sembang Santai berharap dapat mengenalpasti isu yang dibangkitkan akhawat peda di dalam borang pendaftaran, dan akan menyusun siri Sembang Santai mengikut topik terfokus. Ini memberi peluang kepada pihak pengurusan tadika masing-masing mengenalpasti audiens untuk setiap sesi.

        Tadika taska peda mempunyai tempoh penubuhan yang berbeza. Ada yang telah lebih 30 tahun, dan ada yang kurang 10 tahun. Namun dalam menghadapi isu pandemik ini, semua kita berada di tangga yang sama. Yang membezakan hanyalah kapal kita berbeza. Akhawat peda memiliki misi besar untuk mendidik pewaris generasi rabbani tentulah perlu bangkit mendepani cabaran yang ada. Sesungguhnya dengan niat ikhlas dan usaha yang bersungguh-sungguh kita akan dibantu Allah s.w.t dalam menghadapi situasi ini.

        Antara highlight perbincangan ialah,

1) Persiapan mind setting pihak pengurusan yang melibatkan semua pemegang taruh dan kesediaan untuk go the extra mile. Perancangan untuk sustain sehingga 30 tahun ke depan malah lebih,

2) Setiap institusi mempunyai bisnes model yang berbeza, kedudukan kewangan yang berbeza, dan keupayaan untuk segera bangkit menerima cabaran dengan berbeza. Namun, setiap institusi memiliki kekuatan tersendiri yang boleh dikongsikan. Mungkin solusi sesebuah institusi boleh digunapakai oleh satu institusi lain, dan tidak boleh untuk yang lain. There is no one size fit all solution. Maka kita harus terus mencari untuk menemukan jalan terbaik.

3) Perlunya akhawat peda berada dalam group tadika/taska tertentu agar sesuatu isu/ perbincangan dapat diketahui dan dirujuk dengan pantas. Contohnya, setiap negeri mempunyai Persatuan Tadika/Taska masing-masing atau juga PERTIM.

4) Perlunya pengurusan mengenalpasti dan menyenaraikan cabaran yang dihadapi oleh institusi supaya dapat segera bangkit mencari penyelesaian.

5) Adakalanya penyelesaian itu boleh datang dalam pelbagai berbentuk : perubahan nakhoda baru, optimize spending masing-masing, increase fees, limit student intake, create the needs supaya parents merasakan perlu untuk bersama, dan maintain relationship dengan staying visible biarpun dalam keadaaan PKP. How do you sell yourself?

6) Komunikasi yang terurus dan berkesan diperlukan dalam mengendalikan penerimaan guru dan staf agar tindakan yang terhasil adalah cepat dan pantas. Perbincangan perlu dilakukan segera tanpa mengira masa disebabkan polisi dan SOP kementerian dan agensi yang berubah-ubah.

7) Amalan syura mengikut peringkat pengurusan, apa tindakan yang perlu, bagaimana untuk mencapai, dan bimbing arah perjalanan institusi untuk bergerak ke hadapan dalam keadaan selamat dan jelas oleh semua.

8) Pastikan polisi/ arahan/ pekeliling dikeluarkan dari pelbagai agensi dan kementerian difahami secara jelas oleh semua staf.

9) Pelbagaikan sumber pendapatan tadika selain dari yuran bulanan dengan mencari pelbagai ruang lain seperti aktiviti cuti sekolah, Creative Kit, parenting course, webinar bersiri dan lain-lain. Bukan untuk ibu bapa dan anak-anak di institusi kita sahaja, malah terbuka luas kepada orang luar.

10) Menjalankan PdPR dengan meneroka pelbagai kaedah dan strategi. Gunakan pendekatan interactive, banyak guna alat bantu mengajar, tempoh masa pertemuan yang bersesuaian dan tidak terlalu lama kerana fokus anak-anak yang rendah. Kumpulan online juga dihadkan bilangan pelajar agar lebih berkesan dengan ada personal touch guru penyampai. Selain kelas online, boleh gunakan recorded videos untuk memudahkan parents mengendalikan sesi pembelajaran tanpa had masa tertentu.

11) Perancangan PdPR dengan menyediakan objektif dan aktiviti khusus untuk dicapai dalam tempoh tersebut seperti penyediaan microteaching atau RPH yang jelas.

12) Antara method yang telah digunakan akhawat peda termasuklah : worksheets, videos, personalized videos,online quizzes, googlemeet questions, tasmi’ secara live, menyediakan waktu pilihan yang berbeza, scripted lakonan guru, kenalpasti guru yang sangat lively di hadapan kamera, dan lain-lain.

13) Antara cadangan isu yang hendak disambung dalam sesi lain adalah : PdPR, Isu pengurusan kewangan dan bagaimana untuk survive, menghadapi persaingan.

14) Setiap institusi merakamkan penghargaan tinggi atas komitmen guru dan staf masing-masing dalam menghadapi situasi mencabar ini.


        Majlis ringkas Sembang Santai kali pertama ini telah diakhiri dengan penghargaan kepada semua akhawat, terutama akhawat seniors yang banyak berkongsi pengalaman. Diharapkan kita saling doa mendoakan dan menghidupkan whatsapp group peda dengan perkongsian antara institusi dan perbincangan. Sebelum penutup, akhawat diseru untuk menghantar gambar masing-masing sambil memegang kertas putih untuk diedit oleh urusetia. Ini bagi menunjukkan tanda soladariti akhawat Peda dalam isu Palestin.

Majlis diakhiri dengan kafaratul majlis pada 4.30 ptg.


Sekian melaporkan,

Mardhiyah & Herne.

2 Jun 2021


Thursday 15 April 2021

Saturday 9 May 2020

Salam Nuzul Quran 1441H & Selamat Hari Ibu 2020

Dengan ingatan tulus ikhlas dari kami,
buat semua...



"Successful mothers are not the ones that have never struggled. They are the ones that never give up despite the struggles."

HAPPY MOTHER'S DAY! 

Friday 24 April 2020

Jom Berkarya!


Assalamualaikum semua. 

Hari ini saya nak bercerita tentang aktiviti anak-anak dalam menzahirkan idea kreatif untuk penghasilan seni. Paling mudah ialah melalui lukisan! Bermula dari minggu pertama sesi persekolahan lagi, TPH memulakan aktiviti dengan melukis. Kenapa melukis ya? Pelbagai media boleh digunakan seperti pensil dan kertas, pensil warna, magic colour, krayon, berus dan warna air... atau lebih menyeronokkan adalah tanpa menggunakan berus! Gunakan sahaja jari jemari atau kaki untuk bermain warna. Tapi awas, memang comot! Comot yang memberikan pengalaman bermakna. 



Pada peringkat awal, biasanya anak-anak diberi kebebasan untuk melukis apa saja. Lukisan bebas untuk memberikan keyakinan dan membuahkan minat terhadap warna-warna yang terhasil. Anak-anak dibiarkan bebas mengekspresikan perasaan melalui lukisan. Ini kerana, pada peringkat ini anak-anak lebih cenderung untuk membuat lukisan seperti contengan bulatan untuk melukis objek yang terdapat disekelilingnya. 

Apabila tahap lukisan anak-anak sudah ada peningkatan baik dari segi psikomotor halus maupun keyakinan diri, barulah mereka didedahkan dengan lukisan yang bertajuk. Tajuk pada peringkat awal adalah sesuatu yang dekat dengan kehidupan sehariannya, seperti keluarga saya, permainan saya, rakan saya dan sebagainya. Melalui tajuk yang diberikan, anak-anak mula berfikir jauh, merancang dan menggambar apa yang perlu dilukiskan. Sebagai contoh, lukisan keluarga saya haruslah mempunyai ahli keluarga terdekat seperti ayah, ibu, kakak, abang dan adik.

           
Aktiviti melukis mampu memberikan kepuasan kepada anak-anak. Anak-anak dapat meluahkan perasaan dan emosi selain membina kekuatan otot jari, tangan dan pergelangan tangan yang bergerak semasa melukis atau mewarna. Bantulah mereka untuk selesa memegang alat tulis dengan betul. Selain itu, anak-anak juga dapat menerokai kreativiti dan memupuk minat dalam seni melukis.                 
                         
Oleh yang demikian, guru atau ibu bapa memainkan peranan penting untuk memikirkan strategi yang sesuai untuk meningkatkan tahap imaginasi anak-anak dan menggalakkan anak-anak untuk berfikir dalam menghasilkan lukisan yang kreatif. Adakalanya kita melukis bersama mereka. Pada ketika lain pula, kita biarkan mereka melukis sendiri. Antara kemudahan yang boleh ibu bapa perolehi ialah dari teknologi komunikasi digital iaitu internet yang membolehkan ibu bapa mencari bahan-bahan yang membantu dalam penghasilan seni kreatif. Aktiviti melukis ini mampu meransang penggunaan kedua belah bahagian otak.

Menjadi kebiasaan di TPH, apabila selesai anak-anak melukis, guru akan memudahcara dengan mengajaknya berbual mengenai lukisan yang telah disiapkan. Ini bertujuan melatih anak-anak dengan keyakinan untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan menggunakan ayat yang mudah dan memberi pandangan berdasarkan gambar yang dilukis.Pelbagai cerita menarik akan keluar! Mungkin pada pandangan kita ianya hanya bulat-bulat di sana sini. Tetapi, apabila diceritakan kita akan lebih menghargainya kerana bulat-bulat itu rupanya adalah ikan-ikan di lautan yang senang mencari makan!

Alhamdulillah dengan aktiviti seperti ini anak-anak akan berasa yakin dengan apa yang dilakukan dan sedikit sebanyak dapat meningkatkan lagi kepekaan, kreativiti dan daya imaginasi untuk mencapai pembelajaran yang optimum, menyeluruh dan menyeronokkan. Melukis secara santai dapat merehatkan dan memberi kelegaan kepada anak-anak dalam memahami perasaannya. 

Sempena Ramadan 1441 ini, didalam suasana PKP, kami mengajak ibu bapa untuk turut sama merasai dan mengalami pengalaman melukis bersama anak ini. Detik-detik indah yang mungkin tidak dapat lagi kita rasai ketika menjalani kesibukan rutin harian diluar PKP. Aktiviti Diari Ramadan 2020 ini merupakan sebuah jurnal mengumpulkan lukisan atau karya anak-anak dalam mengabadikan aktiviti yang dilakukan dalam bulan ramadan ini bersama keluarga. Anak-anak boleh melukiskan detik bersahur, menyediakan makanan untuk berbuka, iftar bersama, solat berjemaah, membuat tabung infaq ramadan, dan banyak lagi.
Selamat menyambut ramadan semua!
Stay home, stay safe.

Teacher Lin
permatahidayahkuantan.blogspot.com
24/4/2020






Wednesday 22 April 2020

Saya, Ramadan & Anak...


Dua hari lagi kita akan memasuki bulan yang ditunggu-tunggu, iaitu Ramadan Al Mubarak. Bagaimana persiapan kita meraikan kedatangan bulan agung ini di rumah bersama keluarga dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini? Bagaimana pula hendak memperkenalkan ibadah puasa kepada anak-anak?



Di sini, saya kongsikan bagaimana TPH mengajarkan anak-anak tentang ibadah berpuasa. Kita semua maklum bahawa, anak-anak kecil ini belum berkewajipan untuk berpuasa, apatah lagi cukup matang untuk memahami kewajipan tersebut. Walau bagaimanapun, adalah penting kita memberikan pengalaman bermakna kepada kanak-kanak sewaktu proses belajar berpuasa ini. Ya, mereka sedang BELAJAR dan BERLATIH. Mereka bukan sedang menjalani ibadah berpuasa yang mengikut syarat yang ditetapkan seperti seorang dewasa berakal.

Kita jelas bahawa, ibadah solat diperkenalkan sebagai latihan kepada anak agar mereka terbiasa dengan ibadah tersebut. Apabila seseorang anak dapat mengikuti amalan solat bersama, adalah lebih mudah untuk kita memperkenalkan ibadah berpuasa. Sama seperti memperkenalkan ibadah solat, ibadah berpuasa juga dilakukan secara berperingkat.

Seminggu sebelum Ramadan tiba, seisi warga TPH dimeriahkan dengan persiapan luar dan dalam. Guru dan anak-anak sibuk bergotong royong mengemas juga menghias luar dan dalam tadika bagi menghidupkan suasana. Kelas, ruang berkumpul, bahagian luar dihias dengan pelbagai dekorasi dan hasil kerja anak-anak yang menggambarkan Ramadan. Secara tidak langsung, anak-anak diberi kenangan indah yang dikaitkan dengan Ramadan. Ini merupakan sunnah Ar-Rasul, apabila kedatangan Ramadan kita mewar-warkan kebahagiaan dan keseronokan meraikan kedatangannya. Bagi memeriahkan persiapan Ramadan dalam suasana PKP, TPH bersama Wanita Ikram Kuantan menganjurkan Ohana Ramadan dengan #ohanaramadanikram iaitu keluarga berkongsi hasil dekorasi Ramadan di rumah masing-masing.

Tahun ini, nampaknya acara tahunan mengedarkan kurma kepada jiran tetangga tidak dapat dilakukan guru bersama anak-anak…


Guru-guru akan mengangkat tema dan bercerita tentang Ramadan. Kita boleh berbual, membacakan buku cerita, atau menonton animasi seperti Upin Ipin, Umar & Hana atau Nussa dan Rara yang berkisar tentang Ramadan. Ini bagi menyampaikan mesej bahawa Islam itu mudah dan sesuai dengan fitrah manusia. Saya teringat pengalaman bagaimana guru-guru di Berlin ketika anak saya bersekolah di sana, begitu mengangkat dan menghidupkan suasana sambutan krismas walaupun masih beberapa minggu tarikh perayaannya. Games, quizzes, pementasan, dan pelbagai aktiviti lain. Persekitaran yang menghidupkan akan membuatkan anak-anak ternanti-nanti akan kehadirannya.

BELAJAR BERPUASA

Ramadan di TPH berjalan dengan rutin waktu makan yang sama seperti hari diluar Ramadan, cumanya dijalankan dengan beberapa kelainan. Antaranya ialah, waktu makan anak-anak dilakukan mengikut peringkat umur (dengan keizinan ke dua ibubapanya melalui surat jawapan bertulis). Secara asasnya,

10.00 pagi : Minum pagi anak 4 tahun sahaja.
12.30 tengahari : Makan tengahari anak 4 dan 5 tahun.
4.30 petang : Minum petang anak 4, 5 & 6 tahun.

Walau bagaimanapun, ini dilakukan secara berperingkat. Biasanya pada minggu pertama Ramadan, ramai yang “berbuka” pada jam 12.30 tgh. As time goes by, kemampuan anak-anak  yang pelbagai ini akan meningkat sehingga ada yang mampu berbuka bersama ibu dan bapa. Anak-anak yang makan di tadika, diberi makan secara tertutup. Setiap pelajar akan ditanya samada untuk berbuka atau mahu meneruskan puasanya.  Mereka boleh berbuka, tetapi mood puasa masih berjalan. Tiada botol air dibenarkan bawa, menghormati dan mendahulukan rakan yang berpuasa. Di luar waktu tersebut , sekiranya ada anak yang minta untuk berbuka, guru akan membawanya ke tempat khas untuk diberikan makanan. 

Aktiviti di dalam tadika juga dipelbagaikan bentuknya, dan aktiviti luar yang lasak dikurangkan. Masa inilah cikgu biasanya mengeluarkan peralatan mainan baru untuk melekakan anak-anak, sehingga mereka tidak ingat tentang makanan. Dengan adanya jadual aktiviti yang menarik, anak-anak biasanya dapat menjalani Ramadan di TPH dengan baik. 

Oohh ya, lupa hendak nyatakan di sini. Kami juga tidak menekankan waktu sahur seperti syarat orang dewasa. Waktu sahur mereka dilewatkan. Maksudnya, masuk saja pagar tadika, sesi berpuasa telah bermula. Ini kerana mereka hanyalah dilatih untuk merasakan sedikit perasaan lapar dan dahaga. Dengan itu ibu bapa dapat gunakan waktu sahur untuk ibadah dan bersahur dengan tenang tanpa menghadapi ragam anak-anak kecil yang dipaksa makan ketika masih mengantuk. Tetapi, tidak dinafikan ada sebahagian kecil anak-anak yang sudah mampu bersahur mengikut waktunya.

KESIHATAN & KESELAMATAN

Guru-guru TPH juga mengawasi tahap keaktifan seseorang anak ketika menjalani latihan berpuasa. Mata, bibir, kulit, dan tahap kecergasan dipantau supaya tidak menjejaskan kesihatan dan keselamatan mereka. Ada kalanya, guru yang memujuk anak tadika untuk berbuka melihatkan keadaannya! Jika anak kurang aktif dan responsif, tidak perlulah anak tersebut meneruskan puasanya. Anak-anak yang ingin berpuasa dalam tempoh yang panjang, diingatkan untuk tidak melupakan sahur, banyakkan minum air dan makan buah supaya mendapat nutrien dan pencernaan tidak terganggu. Siapa yang tidak bersahur, cikgu tak bagi berpuasa di tadika!

Suasana seronok dan bersama-sama belajar berpuasa ini, menjadikan seseorang anak itu bersedia untuk mencubanya. Bagaimana tidak seronok, setiap anak tanpa terkecuali diberikan hadiah penghargaan dari TPH kerana belajar berpuasa. Makanya, perkenalkanlah ibadah berpuasa ini secara hikmah dan kasih sayang, kerana itulah tujuan Ramadhan.

Selamat belajar berpuasa anak-anak..
Ramadhan Kareem!

Teacher Ummi
permatahidayahkuantan.blogspot.com
22/4/2020 




Saturday 18 April 2020

Penglibatan Ibu Bapa Dalam Proses Pembelajaran Anak Semasa PKP


      Pendidikan awal kanak-kanak merupakan peringkat awal dalam proses pembelajaran untuk seseorang kanak-kanak. Penglibatan ibubapa dalam pembelajaran kanak-kanak sangat mempengaruhi perkembangan mereka serta berkait rapat dengan pencapaian akademik kanak-kanak. Semakin meningkatnya penglibatan ibubapa dalam pembelajaran kanak-kanak, maka kecenderungan untuk pencapaian atau perkembangan kanak-kanak juga meningkat adalah tinggi.


      Kami di Rangkaian Tadika Permata Hidayah (TPH) amat menitikberatkan penglibatan ibubapa dalam proses pembelajaran anak-anak. Dalam situasi sekarang, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan akibat penularan virus Covid-19, telah menyebabkan anak-anak tidak lagi dapat hadir ke tadika. Kami di TPH telah mengambil inisiatif untuk menyediakan pembelajaran dari rumah yang memerlukan komitmen ibu bapa selaku pemudah cara pembelajaran. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah dalam bentuk :

1) Pelbagai Aktiviti (ujikaji, arts & craft, senaman, memasak, bercerita, origami, eksperimen);
   Disediakan untuk anak-anak memperoleh skil atau nilai tertentu yang melibatkan semua pelajar 4, 5 dan 6 tahun.

2) Lembaran Kerja 
  Disediakan untuk anak-anak mengikut peringkat umur 4, 5 & 6 tahun, atau mengikut tahap keupayaan masing-masing.

3) Aktiviti Membaca
   Disediakan untuk anak-anak mengikut tahap masing-masing yang merangkumi bacaan Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Iqra dan hafazan.

Semua aktiviti di atas telah siap disediakan panduan kepada ibu bapa bagaimana untuk memulakan, menjalankan dan mengakhiri sesebuah aktiviti. Ini penting bagi memastikan objektif sesuatu pembelajaran boleh dicapai seterusnya dapat dihubungjalin dalam interaksi ibu bapa dengan kehidupan seharian anak. Ke hadapannya, kami bercadang untuk menambah kepada interaksi audio video dan komunikasi dua hala agar anak-anak merasai kedekatan dengan guru-guru mereka. Ini akan meningkatkan motivasi anak-anak untuk mengikuti aktiviti bersama guru dari masa ke semasa. 

        Justeru itu, sinergi antara guru dan ibu bapa di rumah adalah penting sewaktu fasa PKP ini dijalankan. Tidak dapat tidak, pembelajaran dalam keadaan krisis seperti ini haruslah diteruskan walaupun ianya berjalan dari rumah. Peranan guru-guru TPH adalah untuk membantu ibu bapa dengan silibus dan perkongsian kemahiran mendidik yang ada. Dalam keadaan seperti ini, tentunya cabaran seperti disiplin anak-anak untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baru, kekangan guru dan limitasi kemahiran teknologi, juga keyakinan ibu bapa terhadap pembelajaran yang dijalankan harus difahami semua.

        Kita tidak mempunyai pilihan lain, kecuali bergerak ke hadapan melakukan pembelajaran cara baru ini bersama-sama. Kita tidak dapat lari dari menggunakan teknologi, media dan internet. Biarpun pembelajaran ini tidak sempurna, tetapi dengan saling memahami satu sama lain dan bantu membantu, ianya boleh dilaksanakan! Pembelajaran tetap boleh berjalan dengan menggunakan apa jua sumber yang ada untuk mencapai objektifnya. Slowly but surely, insyaAllah!

     Penglibatan ibubapa dalam proses perkembangan kanak-kanak mereka dapat mengembangkan potensi anak-anak secara menyeluruh. Keyakinan diri, sosial emosi, fizikal, kognitif dan keperibadian anak-anak. Ibubapa dapat membentuk sikap yang positif di dalam diri anak-anak seperti keinginan untuk belajar, rajin membaca, sifat ingin tahu dan pintar bergaul. Selain itu anak-anak juga dapat belajar pelbagai kosa kata daripada ibubapa selaku orang dewasa. Apa yang penting dari sesebuah pembelajaran ialah refleksi, iaitu apa yang diperolehi anak hasil pembelajaran atau dari sesebuah pengalaman itu. Ibu bapa harus banyak berinteraksi dan mempelbagaikan bentuk pengalaman agar ianya dapat diaplikasikan dalam kehidupan seorang anak kecil. 


       Kami sebagai pendidik di TPH mengambil berat akan penglibatan ibubapa dengan menganjurkan pelbagai aktiviti melibatkan ibu bapa, keluarga dan komuniti setempat seperti Hari Terbuka Tadika, Aktiviti Berkebun, Aidilfitri Blessing Bag, Majlis Bersama dan banyak lagi yang diatur sepanjang tahun. Namun dalam tempoh PKP yang mungkin berlangsung lama ini, sinergi dan bentuk kerjasama guru-ibu bapa harus difikirkan dalam bentuk berbeza. Sehingga catatan ini ditulis, hasil soal selidik TPH yang dijalankan untuk mendapatkan maklum balas ibu bapa, menunjukkan 100% persetujuan ibu bapa untuk TPH meneruskan pembelajaran di rumah dalam tempoh PKP. Kita bersama-sama saling membantu membina generasi rabbani yang mencintai ilmu dan berhati kental dalam mengharungi ujian Covid-19 ini. 

Terima kasih ibu bapa!
Teacher Mimie,
18/4/2020
permatahidayahkuantan.blogspot.com

Sunday 12 April 2020

Eksperimen Kacang Hijau


Pada 24 Febuari 2020 yang lalu, para pelajar di Tadika Permata Hidayah telah menjalankan satu eksperimen  yang menggunakan kacang hijau. Ianya dijalankan per individu di dalam kelas masing-masing ketika Fasa Penerokaan dalam Projek Kebun Kami. 

Tujuan aktiviti ini dilakukan adalah untuk menemukan jawapan terhadap soalan pelajar, apakah yang diperlukan tumbuh-tumbuhan untuk hidup. Sesi soal jawab diadakan untuk meguji sejauh mana kemampuan pelajar meramal perkara yang akan berlaku berdasarkan aktiviti yang dilakukan. Melalui sesi bersoal jawab ini, guru-guru dapat mengenal pasti salah faham yang berlaku dalam kalangan pelajar mengenai keperluan tumbuh-tumbuhan untuk hidup. Sebagai contohnya, ada pelajar yang menyangka pokok kacang hijau tidak dapat tumbuh kerana diletakkan didalam kelas dan bukan di kawasan luar. Ada juga segelintir pelajar menyatakan pokok tidak akan tumbuh kerana ditanam menggunakan tisu dan bukannya tanah. Untuk memperjelaskan semua salah faham yang berlaku dalam kalangan pelajar, guru telah memberi penerangan awal mengenai setiap keperluan yang diperlukan oleh tumbuhan. 



Apa itu kesalahfahaman? Kesalahfahaman atau misconceptions, adalah kefahaman seseorang yang bertentangan dengan bukti saintifik. Ianya sering berlaku pada kanak-kanak disebabkan pengetahuan mereka yang terhad. Maka adalah penting seseorang pendidik untuk mengenalpasti salah faham seseorang kanak-kanak dan membetulkan salah faham tersebut, kerana ia mempengaruhi cara anak melihat dunianya.

Para pelajar juga telah menonton beberapa video yang menjelaskan cara penanaman biji benih yang betul. Selain itu, guru turut menunjukkan video proses percambahan dan pertubuhan biji benih agar pelajar mendapat bayangan apa yang akan berlaku apabila eksperimen ini dijalankan. Antara bahan yang telah digunakan untuk menjayakan eksperiment ini ialah biji benih kacang hijau, tisu, cawan plastik dan air.

Bagi mencapai objektif, eksperimen ini telah dilakukan dengan meletakkan beberapa biji kacang hijau ke dalam empat cawan plastik yang berbeza. Cawan yang pertama mengandungi tisu yang dilembapkan dengan kadar yang sesuai serta diletakkan di bawah cahaya matahari. Cawan yang kedua pula, mengandungi air yang sangat banyak sehingga menenggelamkan biji benih serta diletakkan di bawah cahaya matahari. Namun, untuk cawan yang ketiga, biji benih kacang hijau diletakkan di atas tisu yang kering dan diberikan cahaya matahari. Cawan terakhir mengandungi biji kacang hijau yang diberikan air yang mencukupi namun tidak diberi cahaya matahari. Biji benih kacang hijau telah dibiarkan selama seminggu untuk melihat proses percambahan yang berlaku.

Sepanjang tempoh eksperimen ini berlangsung, para pelajar 6 tahun telah mencatatkan perkembangan pokok kacang hijau mereka ke dalam jurnal. Melalui kaedah ini para pelajar akan lebih jelas mengenai proses pertumbuhan anak pokok kerana dapat melihat secara langsung proses yang berlaku ke atas biji benih sebelum menjadi pokok serta mencatatkan proses perkembangannya di dalam jurnal. Melalui aktiviti sebegini, para pelajar dapat didedahkan untuk membuat ramalan berdasarkan aktiviti yang dijalankan. Secara tidak langsung aktiviti ini dapat meningkatkan tahap komunikasi para pelajar. Hal ini dapat dibuktikan apabila mereka menggunakan kaedah lisan untuk menerangkan pemerhatian yang dilakukan terhadap proses percambahan biji benih.


Secara keseluruhannya, aktiviti ini telah berjaya dijalankan dengan lancar. Para pelajar juga banyak bersoal jawab ketika proses eksperimen berlangsung. Diharapkan melalui eksperimen ini, pelajar dapat menemukan jawapan kepada soalan-soalan yang ditanyakan pada awal kajian.

Sekian,
Teacher Akmal
10/4/2020
permatahidayahkuantan.blogspot.com