No. 2, Jalan Kampung Padang Sejahtera 2, Taman Kampung Padang Sejahtera, 25200 Kuantan, Pahang.
Tel : 019-9555028 FB : Tadika Permata Hidayah

Blog ini menghimpunkan nukilan pena guru, staf dan ahli lembaga TPH berkaitan pengalaman dan perkongsian dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Moga bermanfaat buat semua.

Saturday 27 February 2016

Slot Kursus : Bengkel Muzik dan Pergerakan Kanak-kanak

Bengkel Muzik dan Pergerakan Kanak-Kanak

Tarikh    :               20 Februari 2016 (Sabtu)
Masa      :               9.00 pagi hingga 1.00 petang
Tempat   :              Pusat Latihan Tinta Ori, Kuantan.


Alhamdulillah, pada sabtu lepas kami telah mengikuti Bengkel Muzik dan Pergerakan Kanak-Kanak yang dikendalikan oleh Puan Norhanam binti Sulong dari Kuala Lumpur. Peserta bengkel ini terdiri dari pengasuh taska, guru tadika dan guru pendidikan khas.



Di dalam bengkel ini, kami didedahkan dengan lagu-lagu lama yang berunsurkan nasihat dan pengajaran. Antaranya lagu seperti Anak Itik, Jong-jong Inai, pantun nasihat dan syair. Terdapat juga pergerakan dalam lagu seperti Jalur Gemilang dan Anak Permata. Pergerakan ini mudah diikut oleh kanak-kanak. Rangkap yang pendek, rentak yang mudah dan pengulangan yang kerap akan memudahkan kanak-kanak untuk mengikuti guru menyanyi.

 Setiap pergerakan boleh meransang kreativiti dan psikomotor mereka. Kami juga belajar pergerakan badan dari lagu Twinkle Little Star dan aplikasi konsep sains, yakni perubahan siang dan malam. Peserta juga didedahkan dengan bagaimana untuk menggunakan deria, emosi dan pergerakan fizikal semasa menggayakan gerakan melalui video lagu-lagu yang dipertontonkan.


Penggunaan pelbagai alat muzik juga boleh dihasilkan melalui bahan terbuang. Contohnya menggunakan tong cat untuk menjadi gendang, menggunakan tempurung kelapa dan sebagainya. Melalui muzik dan menyanyi, kanak-kanak dapat mempelajari perkataan baru dan memambah kosa kata mereka. Melalui nyanyian juga kanak-kanak dapat menceritakan bagaimana perasaan mereka, samaada sedih, gembira, takut dan lain-lain.

Sebaiknya pelajar disediakan ruangan yang sesuai untuk aktiviti pergerakan. Guru boleh melakukan aktiviti lokomotor, iaitu pergerakan dari satu tempat ke satu tempat. Aktiviti yang boleh dilakukan antaranya :
-          Berjalan ke hadapan, ke sisi kiri dan kanan;
-          Berjalan dan mengimbang badan di atas garisan atau tali di atas lantai;
-          Berlari dengan lakuan yang betul;
-          Berlari bebas pelbagai arah;
-          Merangkak dengan lakuan yang betul;
-          Berjalan mengundur dengan lurus; dan
-          Berjenket beberapa langkah ke arah tertentu.

Jika ruangan sempit dan terhad, guru boleh menggunakan kaedah melakukan kemahiran kasar bukan lokomotor seperti :
-       Membuat pergerakan tangan seperti menghayun tangan, menolak kotak, menarik tali dan lain-lain;
-          Berbaring sambil mengangkat kaki;
-          Mengimbang badan dengan berdiri sebelah kaki;
-          Melompat setempat;
-          Menoleh kepada secara perlahan ke kiri dan kanan;
-          Berjengket setempat;
-          Menepuk tangan.

Melalui kaedah ini, kanak-kanak akan mempelajari konsep ruang. Tambahan pula, menggunakan muzik dan pergerakan dapat menambahkan minat kanak-kanak untuk belajar dan meneroka. Guru perlulah memahami keperluan dan kebolehan kanak-kanak mengikut tahap umur dan kebolehan mereka. Peranan bahasa sangat penting dalam proses pembelajaran. Maka, guru perlulah menggunakan bahasa yang mudah difahami dan menyediakan aktiviti yang fleksibel.

Ok, itu saja dari kami.

Big fish, small fish 2x
Swimming in the water 2x
Bubble bubble blup 2x

Cikgu Mimie & Cikgu Shira 
permatahidayahkuantan.blogspot.my