No. 2, Jalan Kampung Padang Sejahtera 2, Taman Kampung Padang Sejahtera, 25200 Kuantan, Pahang.
Tel : 019-9555028 FB : Tadika Permata Hidayah

Blog ini menghimpunkan nukilan pena guru, staf dan ahli lembaga TPH berkaitan pengalaman dan perkongsian dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Moga bermanfaat buat semua.

Sunday 2 October 2016

Kursus First Aid And Life Support


Tanggal 24 September 2016, saya telah menghadiri Kursus First Aid & Life Support, bertempat di Kulliyah Farmasi, UIAM. Program yang berlangsung dari pukul 8.30 hingga 1.30 tengahhari ini telah memberi banyak pengetahuan dan input yang berguna untuk diaplikasikan sekiranya berlaku kecederaan atau kecemasan.

Kursus ini terbahagi kepada dua slot iaitu, pembentangan daripada para penceramah manakala yang kedua ialah latihan praktikal kepada para peserta. Kami telah diajar tentang teknik yang betul untuk memberi rawatan kecemasan sekiranya disengat (stung), tercekik (choking), sawan (seizure), melecur (burn), terseliuh (sprain), lemas (drowning) dan lain-lain.

Pembentangan dimulakan oleh Asst. Prof. Dr. Aida Nur Sharini Mohd. Shah, seorang doktor pakar di Bahagian Kecemasan. Menurut beliau, perkara pertama yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kecemasan (pengsan, disengat, pendarahan, strok) ialah dengan melihat persekitaran mangsa. Perkara ini sangat penting untuk menjamin keselamatan kita sebagai penyelamat. Setelah memastikan persekitaran yang selamat, barulah kita pergi ke mangsa dan melihat keadaan mangsa. Simptom-simpton yang ditunjukkan berbeza jadi kita perlulah mengesan apakah yang berlaku kepada mangsa. Jangan lengahkan masa dan terus meminta orang lain menelefon 999 barulah diteruskan dengan rawatan kecemasan.

Harus diingat, keselamatan diri sendiri harus diutamakan. Sekiranya kita tidak yakin, atau risau perkara buruk berlaku kepada kita seperti jangkitan, maka kita tidak dipaksa untuk memberi rawatan kecemasan tersebut.

Dalam sesi kedua, kami diberi latihan praktikal oleh fasilitator yang berpengalaman. Dalam sesi ini, kami ditunjuk dengan cara-cara yang betul untuk memberi rawatan kecemasan. Kami juga diajar teknik CPR yang tepat.




CPR perlulah dilakukan sekiranya mangsa tidak sedarkan diri. CPR perlulah dilakukan mengikut nisbah 30:2, iaitu 30 compression dan 2 pernafasan dan perlu dilakukan dalam tempoh 2 minit. Namun begitu, untuk bystanders CPR, kita hanya digalakkan untuk melakukan compression sahaja sehingga bantuan tiba. Implikasi CPR ialah rib fracture namun teknik ini sangat penting untuk mengurangkan risiko kematian. Teknik ini memerlukan stamina yang sangat tinggi jadi kita disaran untuk melakukan CPR secara bergilir-gilir dengan orang lain sehingga bantuan tiba.


Saya berasa amat bertuah diberi peluang keemasan untuk menghadiri kursus ini kerana telah didedahkan teknik-teknik yang boleh digunapakai semasa kecemasan. Bak kata pepatah, malang tidak berbau, jadi dengan adanya pengetahuan berguna ini diharap dapat membantu mengurangkan risiko lebih besar kepada pesakit sementara menunggu bantuan tiba. 



Catatan ringkas,
Cikgu Athirah
permatahidayahkuantan.blogspot.my