Dua hari lagi kita akan memasuki bulan yang
ditunggu-tunggu, iaitu Ramadan Al Mubarak. Bagaimana persiapan kita meraikan
kedatangan bulan agung ini di rumah bersama keluarga dalam suasana Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) ini? Bagaimana pula hendak memperkenalkan ibadah puasa kepada anak-anak?
Di sini, saya kongsikan bagaimana TPH mengajarkan
anak-anak tentang ibadah berpuasa. Kita semua maklum bahawa, anak-anak kecil
ini belum berkewajipan untuk berpuasa, apatah lagi cukup matang untuk memahami
kewajipan tersebut. Walau bagaimanapun, adalah penting kita memberikan
pengalaman bermakna kepada kanak-kanak sewaktu proses belajar berpuasa ini. Ya,
mereka sedang BELAJAR dan BERLATIH. Mereka bukan sedang menjalani ibadah
berpuasa yang mengikut syarat yang ditetapkan seperti seorang dewasa berakal.
Kita jelas bahawa, ibadah solat diperkenalkan
sebagai latihan kepada anak agar mereka terbiasa dengan ibadah tersebut.
Apabila seseorang anak dapat mengikuti amalan solat bersama, adalah lebih mudah
untuk kita memperkenalkan ibadah berpuasa. Sama seperti memperkenalkan ibadah
solat, ibadah berpuasa juga dilakukan secara berperingkat.
Seminggu sebelum Ramadan tiba, seisi warga TPH
dimeriahkan dengan persiapan luar dan dalam. Guru dan anak-anak sibuk bergotong
royong mengemas juga menghias luar dan dalam tadika bagi menghidupkan suasana. Kelas,
ruang berkumpul, bahagian luar dihias dengan pelbagai dekorasi dan hasil kerja
anak-anak yang menggambarkan Ramadan. Secara tidak langsung, anak-anak diberi
kenangan indah yang dikaitkan dengan Ramadan. Ini merupakan sunnah Ar-Rasul,
apabila kedatangan Ramadan kita mewar-warkan kebahagiaan dan keseronokan
meraikan kedatangannya. Bagi memeriahkan persiapan Ramadan dalam suasana PKP, TPH bersama Wanita Ikram Kuantan menganjurkan Ohana Ramadan dengan #ohanaramadanikram iaitu keluarga berkongsi hasil dekorasi Ramadan di rumah masing-masing.
Tahun ini, nampaknya acara tahunan mengedarkan kurma kepada jiran tetangga tidak dapat dilakukan guru bersama anak-anak…
Tahun ini, nampaknya acara tahunan mengedarkan kurma kepada jiran tetangga tidak dapat dilakukan guru bersama anak-anak…
Guru-guru akan mengangkat tema dan bercerita
tentang Ramadan. Kita boleh berbual, membacakan buku cerita, atau menonton
animasi seperti Upin Ipin, Umar & Hana atau Nussa dan Rara yang berkisar
tentang Ramadan. Ini bagi menyampaikan mesej bahawa Islam itu mudah dan sesuai
dengan fitrah manusia. Saya teringat pengalaman bagaimana guru-guru di Berlin
ketika anak saya bersekolah di sana, begitu mengangkat dan menghidupkan suasana
sambutan krismas walaupun masih beberapa minggu tarikh perayaannya. Games, quizzes,
pementasan, dan pelbagai aktiviti lain. Persekitaran yang menghidupkan akan
membuatkan anak-anak ternanti-nanti akan kehadirannya.
BELAJAR BERPUASA
Ramadan di TPH berjalan dengan rutin waktu makan
yang sama seperti hari diluar Ramadan, cumanya dijalankan dengan beberapa
kelainan. Antaranya ialah, waktu makan anak-anak dilakukan mengikut peringkat
umur (dengan keizinan ke dua ibubapanya melalui surat jawapan bertulis). Secara asasnya,
10.00 pagi : Minum pagi anak 4 tahun sahaja.
12.30 tengahari : Makan tengahari anak 4 dan 5
tahun.
4.30 petang : Minum petang anak 4, 5 & 6
tahun.
Walau bagaimanapun, ini dilakukan secara
berperingkat. Biasanya pada minggu pertama Ramadan, ramai yang “berbuka” pada
jam 12.30 tgh. As time goes by, kemampuan anak-anak yang pelbagai ini akan meningkat sehingga ada
yang mampu berbuka bersama ibu dan bapa. Anak-anak yang makan di tadika, diberi
makan secara tertutup. Setiap pelajar akan ditanya samada untuk berbuka atau mahu meneruskan puasanya. Mereka
boleh berbuka, tetapi mood puasa masih berjalan. Tiada botol air dibenarkan
bawa, menghormati dan mendahulukan rakan yang berpuasa. Di luar waktu tersebut , sekiranya ada anak yang
minta untuk berbuka, guru akan membawanya ke tempat khas untuk diberikan makanan.
Aktiviti di dalam tadika juga dipelbagaikan
bentuknya, dan aktiviti luar yang lasak dikurangkan. Masa inilah cikgu biasanya
mengeluarkan peralatan mainan baru untuk melekakan anak-anak, sehingga mereka
tidak ingat tentang makanan. Dengan adanya jadual aktiviti yang menarik,
anak-anak biasanya dapat menjalani Ramadan di TPH dengan baik.
Oohh ya, lupa
hendak nyatakan di sini. Kami juga tidak menekankan waktu sahur seperti syarat
orang dewasa. Waktu sahur mereka dilewatkan. Maksudnya, masuk saja pagar tadika, sesi berpuasa telah bermula. Ini
kerana mereka hanyalah dilatih untuk merasakan sedikit perasaan lapar dan
dahaga. Dengan itu ibu bapa dapat gunakan waktu sahur untuk ibadah dan bersahur
dengan tenang tanpa menghadapi ragam anak-anak kecil yang dipaksa makan ketika
masih mengantuk. Tetapi, tidak dinafikan ada sebahagian kecil anak-anak yang sudah mampu bersahur mengikut waktunya.
KESIHATAN & KESELAMATAN
Guru-guru TPH juga mengawasi tahap
keaktifan seseorang anak ketika menjalani latihan berpuasa. Mata, bibir, kulit,
dan tahap kecergasan dipantau supaya tidak menjejaskan kesihatan dan
keselamatan mereka. Ada kalanya, guru yang memujuk anak tadika untuk berbuka
melihatkan keadaannya! Jika anak kurang aktif dan responsif, tidak perlulah anak tersebut meneruskan puasanya. Anak-anak yang ingin berpuasa dalam tempoh yang panjang,
diingatkan untuk tidak melupakan sahur, banyakkan minum air dan makan buah
supaya mendapat nutrien dan pencernaan tidak terganggu. Siapa yang tidak
bersahur, cikgu tak bagi berpuasa di tadika!
Suasana seronok dan bersama-sama belajar berpuasa
ini, menjadikan seseorang anak itu bersedia untuk mencubanya. Bagaimana tidak seronok, setiap anak tanpa terkecuali diberikan hadiah penghargaan dari TPH
kerana belajar berpuasa. Makanya, perkenalkanlah ibadah berpuasa ini secara
hikmah dan kasih sayang, kerana itulah tujuan Ramadhan.
Selamat belajar berpuasa anak-anak..
Ramadhan Kareem!
No comments:
Post a Comment