No. 2, Jalan Kampung Padang Sejahtera 2, Taman Kampung Padang Sejahtera, 25200 Kuantan, Pahang.
Tel : 019-9555028 FB : Tadika Permata Hidayah

Blog ini menghimpunkan nukilan pena guru, staf dan ahli lembaga TPH berkaitan pengalaman dan perkongsian dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Moga bermanfaat buat semua.

Tuesday 9 May 2017

Sang Arnab di TPH


  
Alhamdulillah, selesai aktiviti anak-anak Tadika Permata Hidayah bersama sang arnab pagi ini. Ramai ibubapa yang berkongsi cerita tentang semangat anak masing-masing untuk hadir ke tadika hari ini. Bahkan ada yang sudah bersiap sejak 6 pagi lagi!

Objektif  yang hendak dicapai melalui aktiviti hari ini ialah :
1) dapat mendidik anak-anak tentang peranan seorang khalifah memakmur dan memelihara alam ciptaanNya termasuk haiwan,

2) sebagai terapi kepada anak-anak yang agresif, sukar bergaul, atau mempunyai kesukaran berkomunikasi untuk bermain bersama arnab,

3) menerapkan budaya membersihkan tangan melalui 7 langkah mencuci tangan.

Anak-anak gembira dapat bermain dan belajar mengenal 6 jenis arnab yang berbeza. Hari ini sebanyak 17 ekor arnab didatangkan ke TPH! Mereka melihat dan melakukan penjagaan dan pengurusan arnab, iaitu :
- memotong kuku arnab
- memandikan arnab menggunakan spray
- menyikat bulu arnab
- memberi vitamin
- memberi makan dan minum
- juga cara memegang yang betul agar tidak menyakiti arnab.



Membela haiwan peliharaan bukanlah sekadar untuk memenuhi masa lapang atau dijadikan hobi. Aktiviti ini mampu menjadi terapi kepada pelbagai masalah kesihatan terutama kepada kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran, austime, sindrome down, dan agresif. Aktiviti ini dapat membentuk sahsiah, mendidik dan meransang emosi mereka secara lebih praktikal berbanding dengan penggunaan pelbagai jenis gajet elektronik. 

Aktiviti bermain dengan haiwan peliharaan ini merupakan satu terapi terbaik kepada anak-anak, malah menjadi salah satu kaedah paling berkesan dalam meransang perkembangan minda mereka. Anak-anak dapat meneroka palbagai perkara selain mendedahkan mereka kepada alam realiti berbanding permainan alam maya.

Banyak pemerhatian yang boleh guru-guru lakukan bagi memahami peringkat perkembangan pelajar. Sharleez, 6 tahun menemani Aniq, 4 tahun yang agak ketakutan untuk menghampiri arnab. Sharleez mengajak dan memujuknya dengan baik. Kita lihat bagaimana Ayra dan Syafiqah sangat natural memegang dan memeluk sang arnab. Dan arnab tersebut begitu selesa dalam dakapan mereka. Pelajar yang agresif juga mampu mengusap dan memperlakukan sang arnab dengan lemah lembut. Menyikat dan membersihkan sang arnab. Mubarak juga berusaha keras tanpa jemu untuk menangkap arnab yang lari ke sini dan sana. Akhirnya dia berjaya dengan baik sekali!

Alhamdulillah. Hari yang ceria dan gembira bersama sang arnab. 
Semoga aktiviti ini banyak manfaatnya!

Catatan ringkas,
Teacher Ummi
permatahidayahkuantan.blogspot.my 

Saturday 6 May 2017

Aku Seorang Guru Tadika... (part 2)

Aku seorang guru tadika di sebuah tadika swasta di bawah IKRAM (Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Pahang) iaitu Tadika Permata Hidayah. Aku mempunyai 3 orang anak. Anak sulong berumur 5 tahun dan bersekolah di tadika yang sama tetapi cawangan yang berbeza (TPH1) yang juga terletak di Kuantan. Tuntutan tugasku ditambah dengan anak kecil berusia 6 bulan semakin membataskan waktu untukku bersama di sulung mengulangkaji pelajarannya.

Yelah, balik kerja sibuk memasak, uruskan mandi dan makan anak-anak, dah si baby merengek nak tidur. Bila dah tidurkan si kecil, ibu pun terlena sama. 😂 Begitulah rutin harian. Terdetik juga rasa simpati pada si sulung yang bersemangat bercerita itu ini tentang pelajarannya. Tapi ibu hanya sempat layan sekejap-sekejap sahaja memandangkan si kecil sentiasa nak berdamping dengan ibu. Jadi, besarlah harapan diletakkan kepada guru-gurunya untuk membantu pelajaran Qayyim.

Satu hari, lewat petang selepas pulang dari kerja, Qayyim datang menghampiri. 
"Ibu.. ibu, tadikan Cikgu Shira ajar huruf s", sambil menyanyi "Sani hisap susu, s.. s.. s.."
"oh yeke, macammana huruf s tu?"
"macam ni," sambil jari montoknya berlenggang lenggok di atas angin membentuk huruf s.
"wah.. ha pergi amvil kertas tulis sa"
Tanpa banyak soal Qayyim mengambil kertas dan pensel.
"Cuba tulis sa, tambah ma"
"dah siap ibu"
"bagus, cuba baca"
"sama"
"sekarang cuba tulis ma... tambah sa.. cuba baca"
"masa"


Dan proses itu berulang untuk beberapa perkataan mudah kvkv, di mana huruf tersebut telah dipelajari di tadika. Apa yang menjentik hati seorang ibu ialah : Allahu, betapa selama ini ibumu kurang menghiraukan pelajaran kamu. Rupanya sampai ke tahap ini kamu boleh buat. Alhamdulillah syukur, atas kepercayaan rakan-rakan sekerja, 4 bulan Qayyim baru mula belajar membaca dan menulis, membuahkan hasil yang aku kira adalah hadiah maha hebat dari Allah. 

Ada juga perkara-perkara lain yang kukira asas aqidah yang diterapkan dalam dirinya dengan bagus. Setiap masa membaca surah hafazan. Tak kisahlah surah apa, tapi yang paling digemarinya ialah surah Toha. Siap ambil handphone ibu, dan rakam sendiri bacaan surah Toha dari ayat 1 hingga 5. Selalu menegur adiknya jika buat silap. Bahkan ibu dan ayah tidak terkecuali.

Jadi, dikesempatan ini inginku rakamkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan sekerjaku yang juga cikgu-cikgu Qayyim di atas usaha yang tidak pernah jemu dalam mendidik anakku. Juga penghargaan kepada Teacher Ummi kerana memberi ruang dan peluang untukku berkhidmat di institusi ini. Moga TPH terus maju bagi melahirkan insan rabbani, soleh dan musleh di masa akan datang.



Coretan hati Teacher Ros,
6/5/2017  9.45 pm
permatahidayahkuantan.blogspot.my