No. 2, Jalan Kampung Padang Sejahtera 2, Taman Kampung Padang Sejahtera, 25200 Kuantan, Pahang.
Tel : 019-9555028 FB : Tadika Permata Hidayah

Blog ini menghimpunkan nukilan pena guru, staf dan ahli lembaga TPH berkaitan pengalaman dan perkongsian dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Moga bermanfaat buat semua.

Sunday, 4 October 2015

Kenapa Melukis?

          Satu budaya yang kami terapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di Tadika Permata Hidayah (TPH) ialah budaya melukis. Alhamdulillah, sudah dilazimkan sejak awal penubuhan lagi, kami sering memberikan kertas kosong kepada pelajar terutama untuk aktiviti pengukuhan. Mulanya mereka sangsi. Mulanya mereka tidak yakin diri. Tapi akhirnya mereka dapat membuktikan yang mereka mampu melukis pelbagai tema menggunakan pelbagai alat.

       Malah dalam buku kerja kami juga, halaman bercetak dan halaman kosong diselang-selikan. Kenapa? Supaya guru tidak terikat dengan buku kerja dan pelajar bebas mengekspresikan diri melalui lukisan apabila diminta. Para guru berusaha untuk mempelbagaikan kaedah belajar. Salah satu kaedah yang digunakan ialah dengan melukis. Paling asas, yang diperlukan ialah kertas kosong, pensil, imaginasi dan galakkan guru. Pelajar TPH belajar bahasa, tulisan jawi, matematik malah iqra' juga menggunakan kaedah melukis.



      Pengalaman hampir 4 tahun saya di Germany menghantar anak bersekolah disana banyak membantu. Tidak dapat saya lupakan, guru anak saya memanggil untuk berjumpa dengannya di suatu petang. Pelbagai sangkaan yang tadinya bermain difikiran terus hilang ketika guru itu menunjukkan hasil lukisan anak-anak saya yang tika itu masing-masing baru berusia 2 dan 4 tahun. Beliau bercerita pada saya dengan begitu bersemangat. Tadinya persepsi saya itu adalah contengan, berubah kepada perasaan bangga seorang ibu. Bagaikan lukisan paling indah di dunia!

         Saya kini memahami, bahawa yang penting adalah proses ketika menyiapkan lukisan tersebut. Fikiran. Imaginasi. Memahami suasana. Pemerhatian. Itulah kemahiran yang ingin dipupuk. Tidak kurang pentingnya, adalah bagaimana komunikasi atau perbualan dengan anak dapat dibentuk dari lukisan tersebut.

        Keperntingan kepada kertas dan pena ini juga saya temui dalam buku "Cinta Di Rumah Hassan Al-Banna". Dalam buku tersebut, menceritakan bagaimana ayah As-Syahid Imam HAB sering memberinya kertas untuk menjana idea, baik dalam bentuk lukisan maupun tulisan.


Alhamdulillah, tahun ini adalah keluaran pertama anak TPH yang menjalani pendidikan selama 3 tahun di sini. Bermula usia 4 tahun hingga ke 6 tahun membesar bersama kami. Kami dapat melihat perkembangan positif keupayaan melukis sesuai dengan proses tumbesaran mereka. Para guru pasti mengingati Wahyu yang dahulunya menggambarkan sistem solar dengan garisan dan pangkah cuma, kini dapat melukis secara detail dan ekspresif. Kami yakin, melalui melukis ianya merupakan refleksi pemikiran anak-anak dan alat komunikasi yang berkesan.


Jom melukis!

Mardhiyah mh Teacher Ummi
permatahidayahkuantan.blogspot.my

No comments:

Post a Comment