No. 2, Jalan Kampung Padang Sejahtera 2, Taman Kampung Padang Sejahtera, 25200 Kuantan, Pahang.
Tel : 019-9555028 FB : Tadika Permata Hidayah

Blog ini menghimpunkan nukilan pena guru, staf dan ahli lembaga TPH berkaitan pengalaman dan perkongsian dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Moga bermanfaat buat semua.

Wednesday, 9 December 2015

Slot Kursus : 8 KATA KUNCI PENTING DALAM FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM

Ringkasan ini dibuat dari slot Puan Fara binti Ahmad, Guru Besar Tadika Khalifah Bestari ketika saya menghadiri kursus PEDA IKRAM di Sri Kembangan 22-23 November 2015 lepas.

8 KATA KUNCI PENTING DALAM FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM

Falsafah Pendidikan Islam (FPI) menyebutkan bahawa :

“Pendidikan Islam adalah suatu proses pendidikan yang berteraskan tauhid bagi membina dan melahirkan insan rabbani yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia serta berkemampuan membentuk kehidupan diri sendiri, masyarakat, negara dan dunia sebagaimana yang dituntut oleh Al-Quran dan As-Sunnah melalui sistem pendidikan yang seimbang, menyeluruh, bersepadu dan berterusan”.

FPI inilah sebagai panduan hala tuju dan proses pendidikan di semua peringkat, walaupun kita di bidang pendidikan prasekolah. InsyaAllah, FPI berperanan memberi sokongan pada Falsafah Pendidikan Negara dengan menampung kekurangan dan menambah baik. FPI ini bukanlah kepada pelajar sahaja, tetapi kepada para pendidik itu sendiri! 

1) Tauhid.
Tauhid bererti mengesakan Allah SWT. Asas kefahaman ialah Allah, segala-galanya kerana Allah, seperti yang termaktub dalam surah Al-Ikhlas dan Al-Kafirun. Inilah asas kepada hubungan kita dengan Sang Pencipta.

Surah Al-Ikhlas :
'Katakanlah (Muhammad), Dialah Allah, Yang Maha Esa. Allah tempat meminta segala sesuatu. (Allah) tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu yang setara dengan Dia'.

2) Insan Rabbani.
Mencakupi dua kelompok; pendidik dan juga orang yang akan dididik. Sebelum seseorang guru mendidik pelajarnya menjadi insan rabbani, guru tersebut perlulah mempunyai ciri-ciri insan rabbani terlebih dahulu. Antara ciri-ciri insan rabbani seperti yang tersurat di dalam surah At-Taubah, ayat 112 ialah ;
- Orang yang bertaubat;
- Hamba yang beribadah;
- Memuji Allah;
- Mengembara iaitu menuntut ilmu dan mengembangkannya; dan
- Orang yang menjaga peraturan Allah.

3) Berilmu.
Dengan ilmulah datangnya Al-Fahmu, iaitu kefahaman. Selepas faham apa itu konsep tauhid, barulah iman akan hadir di dalam diri seseorang. Perlulah seorang guru selalu menambah ilmu untuk beri ilmu. Ilmu Allah sangat luas, ilmu utama ialah ilmu mengenal Allah.

4) Beriman.
Beriman bermaksud membenarkan dengan hati. Yakin dan percaya setulus hati dengan rukun iman yakni beriman kepada Allah, rasul, kitab-kitab, malaikat, hari akhirat dan juga qada' dan qadar. Setelah ada ilmu, barulah iman itu wujud.

5) Berakhlak mulia.
Peranan guru sebagai role model kepada masyarakat sekeliling. Menjadikan Rasulullah sebagai qudwah hasanah dan berusaha mencontohi sifat-sifat baginda yang mulia. Kemuncak kepada kefahaman dan iktikad, ialah amalan.

6) Diri sendiri / masyarakat / negara / dunia.
Besarlah harapan supaya anak didik berupaya merubah bukan sahaja dirinya, malah masyarakat, negara dan seterusnya dunia. Besar amanah, maka besarlah tanggungjawab yang akan dipikul. Berilmu secara kognitif, beriman dengan hati, jadikan akhlak mulia sebagai amalan dan seterusnya mempunyai visi atau cita-cita yang tinggi menjadikan pelajar-pelajar berdaya saing kelak insyaAllah. Bercita-cita supaya setiap kita menjadi individu soleh wa musleh yang memiliki sifat rahmatal lil alamin.

7) Sumber utama.
Acuan pendidikan islam adalah berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah. Sepertimana firman Allah di dalam surah Taha (Q20 : 2 - 3):
                      'Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (Muhammad) agar engkau menjadi susah; melainkan sebagai peringatan bagi orang yang takut kepada Allah'.


Al-Quran hendaklah dibaca dan ditadabburi. Manakala sunnah Ar-Rasul perlulah dibudayakan dalam kehidupan.

8) Sistem seimbang / menyeluruh / bersepadu / berterusan.
- Sistem seimbang, iaitu seimbang dari segi dunia dan akhirat.
- Menyeluruh, iaitu holistik. Tidak terpisah-pisah.
- Bersepadu, integrasi pembelajaran.
- Berterusan; istiqomah.



FPI ini adalah proses untuk membina tamadun, dengan tahapan-tahapan dan berlaku sepanjang hayat. Ialah menerapkan elemen Akidah Merentasi Kurikulum (AMK) dalam setiap pengajaran dan pembelajaran. Guru juga boleh menerapkan 10 muwassafat dalam membentuk kemenjadian diri pelajar.


Semoga kita berjaya mencapai dan membudayakan falsafah pendidikan islam ini di tadika kita. Bersama menjaga dan mendidik amanah yang telah dipilih Allah untuk kita, insyaAllah.


Salam sayang,

Cikgu Ros
permatahidayahkuantan.blogspot.my



No comments:

Post a Comment