No. 2, Jalan Kampung Padang Sejahtera 2, Taman Kampung Padang Sejahtera, 25200 Kuantan, Pahang.
Tel : 019-9555028 FB : Tadika Permata Hidayah

Blog ini menghimpunkan nukilan pena guru, staf dan ahli lembaga TPH berkaitan pengalaman dan perkongsian dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Moga bermanfaat buat semua.

Wednesday 29 November 2017

Slot Kursus : Kelas Kondusif, Murid Terurus

KELAS KONDUSIF, MURID TERURUS
PEMBELAJARAN ABAD KE 21

TARIKH : 29/11/2017(RABU)
MASA : 8.30 - 10.30 PAGI
TEMPAT : SRI AL-AMIN PAYA BESAR, KUANTAN

              Alhamdulillah pada 29/11/2107 yang lalu, saya bersama 3 lagi rakan setugas telah menghadiri Kursus Profesionalisme Guru bagi slot bertajuk, Kelas Kondusif, Murid Terurus Pembelajaran Abad ke 21”. Penyampai slot ini ialah Pn. Hjh Khadijah bt Atan. Peserta yang terlibat adalah guru-guru SRI Al-Amin dan beberapa orang guru TPH.

            Penceramah memulakan dengan ingatan Allah S.W.T yang memberi kita peluang besar untuk meraih pahala sebagai pendidik. Kita haruslah niatkan pekerjaan kita kerana Allah S.W.T. Walau sekecil mana, tetapi jika diniatkan kerana Allah, makan pahalaNya menjadi besar. Allah menjadikan kita berkuasa di muka bumi ini, sebagai khalifah yang mentadbir dan beramal soleh. Sebagai seorang guru juga, kita mestilah menghidupkan hati kita dengan berzikir, membaca Al-Quran dan menghayati maknanya. Selain itu, kita haruslah selalu memperbaharui niat kita dan niat para pelajar.

Visi yang tidak pernah padam. Seperti yang dirakam dalam Al-Quran, Surah An-Nur :
“Allah telah menjanjikan kepada orang-orang di antara kamu yang beriman dan yang mengerjakan kebajikan, bahawa Dia sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa. Dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka dengan agama yang diredhaiNya…” (24:55)

            Guru berjiwa murabbi haruslah bersikap lemah lembut terhadap murid-murid, tegas dan ada kawalan kelas yang baik. Seorang guru haruslah ikhlas mendidik pelajar tanpa ada sebarang prasangka. Kita melihat pelajar sebagai intan permata yang perlu digilap dengan baik potensi dan kemampuan mereka. Bergaul dengan baik, dan bertimbang rasa terhadap pelajar sangat perlu kerana pelajar akan selesa apabila kita bersama mereka.

         Seperti yang kita ketahui, di dalam kemahiran abad ke 21 yang ingin dilahirkan adalah murid yang seimbang. Guru perlu memenuhi semua keperluan murid termasuk perkembangan emosi, rohani dan jasmani. Mereka harus terbentuk dengan sifat  berdaya tahan, berprinsip, bermaklumat, patriotik, mempunyai kemahiran berfikir, dapat berkomunikasi dengan baik dan memiliki semangat berpasukan.. Pelajar juga harus disemai dengan sikap semangat ingin tahu. Meraka akan bertanyakan soalan kepada kita sehingga dapat jawapannya, atau kita membantu menunjuk jalan untuk mendapatkan jawapan tersebut.

Di sini saya juga ingin kongsikan empat kategori guru iaitu :

1) Guru Biasa : sekadar melakukan;
2) Guru Yang Baik : lakukan dan mampu memberi penjelasan;
3) Guru Cemerlang : dirinya sebagai qudwah hasanah;
4) Guru Mithali  : dirinya sebagai qudwah hasanah dan merangsang orang lain menjadi sepertinya.

          Dua perkara yang disukai oleh seorang guru kepada pelajarnya, ialah cepat faham dan hormat kepada guru. Manakala dua perkara yang disukai pelajar terhadap gurunya, ialah menunjukkan kesungguhan dan berlemah lembut dengan mereka.

Terdapat dua faktor yang mempengaruhi psikologi yang sihat, iaitu pendekatan pengajaran dan gaya kepimpinan. Guru adalah orang yang seharusnya memainkan peranan yang penting di dalam bilik darjah. Antara peranan guru dalam bilik darjah ialah :

Guru haruslah menguasai kandungan kurikulum bagi subjek yang mahu diajar, membuat persedian lebih awal supaya tidak terkial-kial dihadapan murid. Pilih set induksi yang disukai pelajar dan berubah-ubah mengikut kesesuaian;

Mahir dan berketerampilan dalam pedagogi seperti menulis impak atau penambahbaikan pada akhir sesi pembelajaran;

Memahami perkembangan dan menyayangi pelajar. Contohnya seperti menilai perkembangan murid sesuai dengan kebolehan mereka  dan mengaitkan pengajaran dengan Al-Quran;

menggunakan teknologi terkini  iaitu mahir dalam menggunakan LCD dan aplikasi lain yang membawa kelainan kepada suasana ketika belajar;

memahami psikologi pembelajaran seperti matlamat datang ke sekolah perlu ada dalam diri pelajar bahkan guru juga; dan

memiliki kemahiran kaunseling supaya mudah untuk menyelesaikan masalah emosi dan masalah lain yang dihadapi oleh murid. Perlu ada ‘klinik’ untuk pelajar bermasalah. Mewujudkan budaya memberi salam, dengan dimulakan contoh oleh guru.

Seterusnya pengurusan bilik darjah dan tingkah laku adalah dua situasi yang berbeza. Guru harus memotivasikan murid dengan cara :
mengharap terbaik daripada murid;
membentuk sikap yang diharapkan;
mewujudkan persekitaran yang positif dan kondusif;
melibatkan murid dengan aktif;
Memberikan pembelajaran yang bermakna.

Selain itu, guru juga perlu mengenali generasi yang diajar. Ajarlah mereka ilmu dengan ilmu kontemperori kerana mereka dilahirkan berbeza dari kita dan kita perlu memahami generasi X, Y dan Z. Matlamat pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah juga  boleh dibahagikan kepada tiga, iaitu :

pengurusan masa : harus merancang masa dengan optimum dan memberikan masa untuk pelajar bersedia;

peluang pembelajaran : harus diagih sama rata;

pengurusan kendiri : pengurusan secara individu atau boleh bertanyakan pendapat orang lain.

Ciri-ciri pelajar abad ke 21 ialah :
- pengembangan kondusif;
- pembelajaran koperatif;
- berfikir secara kritis dan reflektif;
- pelbagai kecerdasan;
- kemahiran belajar untuk belajar.

      Inilah sedikit sebanyak yang dapat kami kongsikan kepada semua. Oleh itu, kita sebagai guru haruslah berusaha menyentuh hati pelajar dan membersihkan hati kita dahulu sebelum mendidik mereka. Ikhlas adalah segala-galanya.

Kami akhiri perkongsian ini dengan sekalung doa

Alangkah indahnya kita di dalam kubur,
bersenang lenang dengan pahala mujahid-mujahid yang sentiasa mengalir kepada kita,
kerana mereka sedang berjuang memartabatkan islam di atas muka bumi ini.
Apabila Allah bertanya kepada malaikatnya,
siapakah gerangan mujahid-mujahid ini?
Lalu para malaikat menjawab :
“mereka ini adalah kelahiran dari usaha-usaha manusia yang bernama KITA”.

Ya Allah, berikanlah taufik dan hidayahMu untuk kami menjalankan usaha ini.
Amin Ya Rabbal Alamin.

Catatan ringkas,
Teacher Shira & Teacher Lin
permatahidayahkuantan.blogspot.com

No comments:

Post a Comment