Assalamualaikum kepada semua yang membaca blog
kami! Disini kami guru-guru ingin berkongsi sedikit pembelajaran yang kami
lakukan bersama anak-anak didik kami pada minggu terakhir persekolahan 2017.
Inilah aktiviti-aktiviti yang kami
lakukan sepanjang minggu tersebut :
20/11/2017 (Isnin)
“Sports Day”
Aktiviti sukaneka kali ini berbeza
sedikit. Setiap pelajar diberi sekeping kertas kecil untuk di”cop” setelah
menyelesaikan sesuatu tugasan di setiap checkpoint. Setiap kumpulan digabungkan
antara pelajar 4, 5 dan 6 tahun. Ini supaya setiap individu belajar menerima
kelebihan dan kekurangan masing-masing untuk bergerak melepasi setiap
checkpoint.
Alhamdulillah, mereka berpeluang
untuk belajar bertoleransi dan tolong menolong sesame sendiri dengan bakat dan
kelebihan masing-masing. Sebelum anak-anak bergerak ke checkpoint seterusnya,
mereka akan bersoal jawab bersama guru di checkpoint tersebut.
Antara permainan yang diadakan adalah
seperti permainan congkak, puzzle, galah panjang, bowling mini bola, dan imbang
badan dengan bola pingpong. Pelajar sangat seronok dengan aktiviti ini dan
berusaha memastikan setiap ahli kumpulan memperolehi cop masing-masing.
21/11/2017 (Selasa)
“Clean Hands & Movie Show”
Aktiviti hari ini memerlukan perhatian
dan keupayaan mendengar para pelajar. Sesi pertama dimulakan dengan perkongsian
dari tetamu istimewa, Dr. Azrin binti Abdullah, Pensyarah UIA Kuantan. Dr Azrin
berkongsi tentang
-
Kepentingan mencuci tangan dengan cara yang betul,
-
Bila perlu mencuci tangan,
-
Langkah demi langkah untuk mencuci tangan,
-
Lagu mencuci tangan dengan cara yang betul.
Para pelajar kemudiannya dibawa ke
perkarangan luar tadika untuk membuat praktikal mencuci tangan langkah demi
langkah dengan tunjuk ajar dari Dr. Azrin. Pelajar dapat melakukan dengan betul
dan akan mempraktikan dirumah secara berterusan. Mudahan amalan mencuci tangan
dengan betul dapat diteruskan oleh anak-anak. Selesai mencuci tangan, pelajar
masing-masing dihadiahkan sebiji epal oleh Dr Azrin untuk dimakan bersama-sama.
Selepas rehat, sesi kedua dimulakan
dengan pelajar dipertontonkan dengan tayangan video iaitu cerita Kungfu Panda. Sambil
menonton, guru akan bersoal jawab bersama pelajar berkenaan pengajaran yang boleh diambil.
Aktiviti ditutup dengan membuat origami panda untuk dibawa pulang.
22/11/2017 (Rabu)
“Aiskrim Goncang”
Aktiviti hari ini ialah membuat
aiskrim sendiri. Semua pelajar sudah teruja dan tidak sabar-sabar untuk
melakukannya sendiri. Teacher Zai memulakan dengan penerangan bahan-bahan yang
diperlukan, iaitu susu kotak, ais, plastic
zip bag besar dan kecil, gula dan tuala kecil. Pelajar kemudiannya membuat
aiskrim tersebut langkah demi langkah mengikut cara yang ditunjukkan oleh Teacher
Zai.
Kemudian… goncang… dan goncang… dan
goncang!
Hahaha..cikgu-cikgu turut bantu
menggoncang sama.
Hasilnya memang menyelerakan! Setelah
penat menggoncang, masing-masing pun menikmati hasil aiskrim yang dibuat. Nilai
yang ingin diterapkan disini ialah kita perlu berusaha dahulu, barulah boleh
menikmati hasilnya. Juga mensyukuri nikmat yang Allah berikan.
23/11/2017 (Khamis)
“Art & Craft”
Seperti aktiviti sukaneka, aktiviti
hari ini turut dilakukan secara ber-checkpoint yang perlu dilalui oleh pelajar
mengikut kumpulan masing-masing.
Checkpoint 1 : membina istana pasir
Checkpoint 2 : membuat dan membentuk
playdough
Checkpoint 3 : membina binaan
daripada lego
Checkpoint 4 : membuat ulat bulu
dengan mengecat sarang telur
Walaupun setiap orang mempunyai
tugasan yang perlu disiapkan masing-masing, namun untuk bergerak ke checkpoint
seterusnya haruslah dalam kumpulan. Pelajar dapat sokong menyokong dan memberi
galakan antara ahli kumpulan untuk menyempurnakan tugasan.
24/11/2017 (Jumaat)
“Experiment With Balloons
& Majlis Penutup”
Tibalah hari kemuncak untuk aktiviti
terakhir bersama anak-anak hari ini. Sepanjang minggu ini kita telah bersukan,
belajar ilmu menjaga kebersihan diri, menonton, membuat aiskrim, membuat
pelbagai aktiviti seni… dan hari ini ialah sesi eksperimen bersama Teacher Ros.
Beberapa eksperimen menggunakan belon telah dilakukan. Dicucuk, dikenakan panas
api.. dan terakhir membuat belon mengembang sendiri. Bahan yang digunakan
termasuklah soda bikarbonat, cuka, belon dan botol air mineral. Pelajar
memberikan tumpuan dan teruja melihat bagaimana belon itu boleh mengembang
apabila digoncangkan bahan-bahan di dalam botol. Sesi soal jawab dilakukan bagi
memastikan pelajar memahami apa yang berlaku.
Selepas sesi eksperimen, setiap
pelajar diberikan belon untuk dihias dengan marker pen, iaitu menulis nama dan
melukis corak mengikut kreativiti masing-masing. Selepas meniup belon, mereka
pun bermain belon masing-masing.
Aktiviti berikutnya, pelajar melukis
aktiviti yang paling disukai sepanjang berada di tadika. Pelajar menyiapkan
lukisan masing-masing dalam kumpulan. Mereka kemudiannya menceritakan hasil
lukisan tersebut kepada rakan-rakan sekumpulan.
Akhir sekali, tibalah acara yang membuatkan
guru-guru di TPH 2 sedih…. Majlis penutup 2017.
Setiap guru diberi peluang untuk
memberikan ucapan dan nasihat terakhir, terutama untuk anak-anak 6 tahun yang
akan melangkah ke alam persekolahan pada tahun 2018. Sesi diakhiri dengan
bersalam-salaman sesama semua. InsyaAllah, dilain kesempatan kita berjumpa
lagi. InsyaAllah…
permatahidayahkuantan.blogspot.com
No comments:
Post a Comment