No. 2, Jalan Kampung Padang Sejahtera 2, Taman Kampung Padang Sejahtera, 25200 Kuantan, Pahang.
Tel : 019-9555028 FB : Tadika Permata Hidayah

Blog ini menghimpunkan nukilan pena guru, staf dan ahli lembaga TPH berkaitan pengalaman dan perkongsian dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Moga bermanfaat buat semua.

Wednesday, 29 November 2017

Slot Kursus : Kelas Kondusif, Murid Terurus

KELAS KONDUSIF, MURID TERURUS
PEMBELAJARAN ABAD KE 21

TARIKH : 29/11/2017(RABU)
MASA : 8.30 - 10.30 PAGI
TEMPAT : SRI AL-AMIN PAYA BESAR, KUANTAN

              Alhamdulillah pada 29/11/2107 yang lalu, saya bersama 3 lagi rakan setugas telah menghadiri Kursus Profesionalisme Guru bagi slot bertajuk, Kelas Kondusif, Murid Terurus Pembelajaran Abad ke 21”. Penyampai slot ini ialah Pn. Hjh Khadijah bt Atan. Peserta yang terlibat adalah guru-guru SRI Al-Amin dan beberapa orang guru TPH.

            Penceramah memulakan dengan ingatan Allah S.W.T yang memberi kita peluang besar untuk meraih pahala sebagai pendidik. Kita haruslah niatkan pekerjaan kita kerana Allah S.W.T. Walau sekecil mana, tetapi jika diniatkan kerana Allah, makan pahalaNya menjadi besar. Allah menjadikan kita berkuasa di muka bumi ini, sebagai khalifah yang mentadbir dan beramal soleh. Sebagai seorang guru juga, kita mestilah menghidupkan hati kita dengan berzikir, membaca Al-Quran dan menghayati maknanya. Selain itu, kita haruslah selalu memperbaharui niat kita dan niat para pelajar.

Visi yang tidak pernah padam. Seperti yang dirakam dalam Al-Quran, Surah An-Nur :
“Allah telah menjanjikan kepada orang-orang di antara kamu yang beriman dan yang mengerjakan kebajikan, bahawa Dia sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa. Dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka dengan agama yang diredhaiNya…” (24:55)

            Guru berjiwa murabbi haruslah bersikap lemah lembut terhadap murid-murid, tegas dan ada kawalan kelas yang baik. Seorang guru haruslah ikhlas mendidik pelajar tanpa ada sebarang prasangka. Kita melihat pelajar sebagai intan permata yang perlu digilap dengan baik potensi dan kemampuan mereka. Bergaul dengan baik, dan bertimbang rasa terhadap pelajar sangat perlu kerana pelajar akan selesa apabila kita bersama mereka.

         Seperti yang kita ketahui, di dalam kemahiran abad ke 21 yang ingin dilahirkan adalah murid yang seimbang. Guru perlu memenuhi semua keperluan murid termasuk perkembangan emosi, rohani dan jasmani. Mereka harus terbentuk dengan sifat  berdaya tahan, berprinsip, bermaklumat, patriotik, mempunyai kemahiran berfikir, dapat berkomunikasi dengan baik dan memiliki semangat berpasukan.. Pelajar juga harus disemai dengan sikap semangat ingin tahu. Meraka akan bertanyakan soalan kepada kita sehingga dapat jawapannya, atau kita membantu menunjuk jalan untuk mendapatkan jawapan tersebut.

Di sini saya juga ingin kongsikan empat kategori guru iaitu :

1) Guru Biasa : sekadar melakukan;
2) Guru Yang Baik : lakukan dan mampu memberi penjelasan;
3) Guru Cemerlang : dirinya sebagai qudwah hasanah;
4) Guru Mithali  : dirinya sebagai qudwah hasanah dan merangsang orang lain menjadi sepertinya.

          Dua perkara yang disukai oleh seorang guru kepada pelajarnya, ialah cepat faham dan hormat kepada guru. Manakala dua perkara yang disukai pelajar terhadap gurunya, ialah menunjukkan kesungguhan dan berlemah lembut dengan mereka.

Terdapat dua faktor yang mempengaruhi psikologi yang sihat, iaitu pendekatan pengajaran dan gaya kepimpinan. Guru adalah orang yang seharusnya memainkan peranan yang penting di dalam bilik darjah. Antara peranan guru dalam bilik darjah ialah :

Guru haruslah menguasai kandungan kurikulum bagi subjek yang mahu diajar, membuat persedian lebih awal supaya tidak terkial-kial dihadapan murid. Pilih set induksi yang disukai pelajar dan berubah-ubah mengikut kesesuaian;

Mahir dan berketerampilan dalam pedagogi seperti menulis impak atau penambahbaikan pada akhir sesi pembelajaran;

Memahami perkembangan dan menyayangi pelajar. Contohnya seperti menilai perkembangan murid sesuai dengan kebolehan mereka  dan mengaitkan pengajaran dengan Al-Quran;

menggunakan teknologi terkini  iaitu mahir dalam menggunakan LCD dan aplikasi lain yang membawa kelainan kepada suasana ketika belajar;

memahami psikologi pembelajaran seperti matlamat datang ke sekolah perlu ada dalam diri pelajar bahkan guru juga; dan

memiliki kemahiran kaunseling supaya mudah untuk menyelesaikan masalah emosi dan masalah lain yang dihadapi oleh murid. Perlu ada ‘klinik’ untuk pelajar bermasalah. Mewujudkan budaya memberi salam, dengan dimulakan contoh oleh guru.

Seterusnya pengurusan bilik darjah dan tingkah laku adalah dua situasi yang berbeza. Guru harus memotivasikan murid dengan cara :
mengharap terbaik daripada murid;
membentuk sikap yang diharapkan;
mewujudkan persekitaran yang positif dan kondusif;
melibatkan murid dengan aktif;
Memberikan pembelajaran yang bermakna.

Selain itu, guru juga perlu mengenali generasi yang diajar. Ajarlah mereka ilmu dengan ilmu kontemperori kerana mereka dilahirkan berbeza dari kita dan kita perlu memahami generasi X, Y dan Z. Matlamat pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah juga  boleh dibahagikan kepada tiga, iaitu :

pengurusan masa : harus merancang masa dengan optimum dan memberikan masa untuk pelajar bersedia;

peluang pembelajaran : harus diagih sama rata;

pengurusan kendiri : pengurusan secara individu atau boleh bertanyakan pendapat orang lain.

Ciri-ciri pelajar abad ke 21 ialah :
- pengembangan kondusif;
- pembelajaran koperatif;
- berfikir secara kritis dan reflektif;
- pelbagai kecerdasan;
- kemahiran belajar untuk belajar.

      Inilah sedikit sebanyak yang dapat kami kongsikan kepada semua. Oleh itu, kita sebagai guru haruslah berusaha menyentuh hati pelajar dan membersihkan hati kita dahulu sebelum mendidik mereka. Ikhlas adalah segala-galanya.

Kami akhiri perkongsian ini dengan sekalung doa

Alangkah indahnya kita di dalam kubur,
bersenang lenang dengan pahala mujahid-mujahid yang sentiasa mengalir kepada kita,
kerana mereka sedang berjuang memartabatkan islam di atas muka bumi ini.
Apabila Allah bertanya kepada malaikatnya,
siapakah gerangan mujahid-mujahid ini?
Lalu para malaikat menjawab :
“mereka ini adalah kelahiran dari usaha-usaha manusia yang bernama KITA”.

Ya Allah, berikanlah taufik dan hidayahMu untuk kami menjalankan usaha ini.
Amin Ya Rabbal Alamin.

Catatan ringkas,
Teacher Shira & Teacher Lin
permatahidayahkuantan.blogspot.com

Saturday, 25 November 2017

Aktiviti Minggu Terakhir Persekolahan 2017 di TPH 2


Assalamualaikum kepada semua yang membaca blog kami! Disini kami guru-guru ingin berkongsi sedikit pembelajaran yang kami lakukan bersama anak-anak didik kami pada minggu terakhir persekolahan 2017.

Inilah aktiviti-aktiviti yang kami lakukan sepanjang minggu tersebut :

20/11/2017 (Isnin)
“Sports Day”

Aktiviti sukaneka kali ini berbeza sedikit. Setiap pelajar diberi sekeping kertas kecil untuk di”cop” setelah menyelesaikan sesuatu tugasan di setiap checkpoint. Setiap kumpulan digabungkan antara pelajar 4, 5 dan 6 tahun. Ini supaya setiap individu belajar menerima kelebihan dan kekurangan masing-masing untuk bergerak melepasi setiap checkpoint.

Alhamdulillah, mereka berpeluang untuk belajar bertoleransi dan tolong menolong sesame sendiri dengan bakat dan kelebihan masing-masing. Sebelum anak-anak bergerak ke checkpoint seterusnya, mereka akan bersoal jawab bersama guru di checkpoint tersebut.

Antara permainan yang diadakan adalah seperti permainan congkak, puzzle, galah panjang, bowling mini bola, dan imbang badan dengan bola pingpong. Pelajar sangat seronok dengan aktiviti ini dan berusaha memastikan setiap ahli kumpulan memperolehi cop masing-masing.




21/11/2017 (Selasa)
“Clean Hands & Movie Show”


Aktiviti hari ini memerlukan perhatian dan keupayaan mendengar para pelajar. Sesi pertama dimulakan dengan perkongsian dari tetamu istimewa, Dr. Azrin binti Abdullah, Pensyarah UIA Kuantan. Dr Azrin berkongsi tentang
-      Kepentingan mencuci tangan dengan cara yang betul,
-      Bila perlu mencuci tangan,
-      Langkah demi langkah untuk mencuci tangan,
-      Lagu mencuci tangan dengan cara yang betul.


Para pelajar kemudiannya dibawa ke perkarangan luar tadika untuk membuat praktikal mencuci tangan langkah demi langkah dengan tunjuk ajar dari Dr. Azrin. Pelajar dapat melakukan dengan betul dan akan mempraktikan dirumah secara berterusan. Mudahan amalan mencuci tangan dengan betul dapat diteruskan oleh anak-anak. Selesai mencuci tangan, pelajar masing-masing dihadiahkan sebiji epal oleh Dr Azrin untuk dimakan bersama-sama.

Selepas rehat, sesi kedua dimulakan dengan pelajar dipertontonkan dengan tayangan video iaitu cerita Kungfu Panda. Sambil menonton, guru akan bersoal jawab bersama pelajar  berkenaan pengajaran yang boleh diambil. Aktiviti ditutup dengan membuat origami panda untuk dibawa pulang.



22/11/2017 (Rabu)
“Aiskrim Goncang”

Aktiviti hari ini ialah membuat aiskrim sendiri. Semua pelajar sudah teruja dan tidak sabar-sabar untuk melakukannya sendiri. Teacher Zai memulakan dengan penerangan bahan-bahan yang diperlukan, iaitu susu kotak, ais, plastic zip bag besar dan kecil, gula dan tuala kecil. Pelajar kemudiannya membuat aiskrim tersebut langkah demi langkah mengikut cara yang ditunjukkan oleh Teacher Zai.  

Kemudian… goncang… dan goncang… dan goncang!
Hahaha..cikgu-cikgu turut bantu menggoncang sama.

Hasilnya memang menyelerakan! Setelah penat menggoncang, masing-masing pun menikmati hasil aiskrim yang dibuat. Nilai yang ingin diterapkan disini ialah kita perlu berusaha dahulu, barulah boleh menikmati hasilnya. Juga mensyukuri nikmat yang Allah berikan.



23/11/2017 (Khamis)
“Art & Craft”

Seperti aktiviti sukaneka, aktiviti hari ini turut dilakukan secara ber-checkpoint yang perlu dilalui oleh pelajar mengikut kumpulan masing-masing.


Checkpoint 1 : membina istana pasir
Checkpoint 2 : membuat dan membentuk playdough
Checkpoint 3 : membina binaan daripada lego
Checkpoint 4 : membuat ulat bulu dengan mengecat sarang telur



Walaupun setiap orang mempunyai tugasan yang perlu disiapkan masing-masing, namun untuk bergerak ke checkpoint seterusnya haruslah dalam kumpulan. Pelajar dapat sokong menyokong dan memberi galakan antara ahli kumpulan untuk menyempurnakan tugasan.


24/11/2017 (Jumaat)
“Experiment With Balloons  & Majlis Penutup”

Tibalah hari kemuncak untuk aktiviti terakhir bersama anak-anak hari ini. Sepanjang minggu ini kita telah bersukan, belajar ilmu menjaga kebersihan diri, menonton, membuat aiskrim, membuat pelbagai aktiviti seni… dan hari ini ialah sesi eksperimen bersama Teacher Ros. Beberapa eksperimen menggunakan belon telah dilakukan. Dicucuk, dikenakan panas api.. dan terakhir membuat belon mengembang sendiri. Bahan yang digunakan termasuklah soda bikarbonat, cuka, belon dan botol air mineral. Pelajar memberikan tumpuan dan teruja melihat bagaimana belon itu boleh mengembang apabila digoncangkan bahan-bahan di dalam botol. Sesi soal jawab dilakukan bagi memastikan pelajar memahami apa yang berlaku.

Selepas sesi eksperimen, setiap pelajar diberikan belon untuk dihias dengan marker pen, iaitu menulis nama dan melukis corak mengikut kreativiti masing-masing. Selepas meniup belon, mereka pun bermain belon masing-masing.

Aktiviti berikutnya, pelajar melukis aktiviti yang paling disukai sepanjang berada di tadika. Pelajar menyiapkan lukisan masing-masing dalam kumpulan. Mereka kemudiannya menceritakan hasil lukisan tersebut kepada rakan-rakan sekumpulan.


Akhir sekali, tibalah acara yang membuatkan guru-guru di TPH 2 sedih…. Majlis penutup 2017.
Setiap guru diberi peluang untuk memberikan ucapan dan nasihat terakhir, terutama untuk anak-anak 6 tahun yang akan melangkah ke alam persekolahan pada tahun 2018. Sesi diakhiri dengan bersalam-salaman sesama semua. InsyaAllah, dilain kesempatan kita berjumpa lagi. InsyaAllah…




Catatan Teacher Lin,
permatahidayahkuantan.blogspot.com

Friday, 24 November 2017

Aktiviti Minggu Terakhir Persekolahan 2017 TPH1

Minggu terakhir persekolahan di Tadika Permata Hidayah 1 dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik untuk para pelajar. Guru-guru memberikan pembelajaran bermakna yang meninggalkan memori indah kepada anak-anak. Juga peluang kami guru mengaut pahala sebanyak mungkin sebelum berakhirnya sesi 2017!

Mari lihat apa yang kami lakukan sepanjang minggu tersebut, 20/11 – 24/11/2017.

Isnin (20/11/2017)

“Clean Hands”
Aktiviti pagi itu dimulakan dengan sesi perkongsian oleh Dr. Azrin binti Abdullah, Pensyarah UIA Kuantan. Taklimat ini memberikan gambaran tentang

-       kepentingan mencuci tangan dengan cara yang betul,
-       bila perlu mencuci tangan,
-       langkah demi langkah untuk mencuci tangan dengan betul,
-       Lagu memcuci tangan langkah demi langkah.

Selepas itu, pelajar ke perkarangan luar tadika untuk sesi praktikal mencuci tangan. Alhamdulillah, kebanyakan pelajar dapat mengingati 7 langkah membasuh tangan dengan cara yang betul. Amalan ini telah diteruskan di rumah bersama ibu bapa dan ahli keluarga menurut ibubapa yang berkongsi cerita. Selepas mengeringkan tangan dengan tisu bersih, pelajar dihadiahkan sebiji epal untuk dinikmati.
  


******
Selasa (21/11/2017)

“Mari Dengarkan”

Aktiviti hari selasa dimulakan dengan perkongsian guru tentang sikap tolong menolong sesama dan nilai ukhuwwah persahabatan. Pelajar kemudiannya menonton sebuah cerita dengan watak utamanya Baymax. Sepanjang cerita dipertontonkan, guru-guru akan menghentikan untuk bersoal jawab bersama pelajar. Ini kerana interaksi penting bagi mendapat kefahaman.

Selesai menonton (tidak menonton keseluruhan cerita), pelajar diminta membuat bulatan yang bercampur 4, 5 dan 6 thn. Guru membacakan kisah Bilal bin Rabbah r.a yang tabah dan tidak pernah berputus asa dalam hidupnya. Beliau terkenal sebagai seorang yang jujur, rendah diri dan memiliki suara yang sangat indah ketika mengumandangkan azan.

Seusai sesi bercerita, pelajar bermain kotak beracun. Pelajar menggerakkan kotak dari seorang pelajar ke seorang pelajar dan apabila lagu berhenti, pelajar tersebut perlu menjawab soalan yang diajukan guru. Soalan adalah berkisarkan cerita yang ditonton dan diperdengarkan. Markah diberikan kepada pelajar yang dapat menjawab soalan tersebut.


*******
Rabu (22/11/2017)

“Mini Sports Day”
 


Rabu adalah aktiviti sukaneka! Pelajar dibahagikan kepada 3 kumpulan iaitu merah kuning dan biru. Memang penuh semangat anak-anak TPH! Antara aktiviti yang dijalankan ialah mengisi air dalam botol, membawa bola pingpong dengan sudu, galah panjang dan rebut kerusi. Semangat kerjasama berpasukan dalam dilihat dari permainan yang dijalankan. Pelajar sangat gembira dengan aktiviti hari ini. Alhamdulillah!

********
Khamis (23/11/2017)

“Jom Buat Sushi”

Setelah bersukan, menonton cerita, hari ini kami memasak sushi pula! Bahan-bahan yang digunakan ialah nasi, sosej, timun, telur dan rumpai laut.

Sebelum memulakan aktiviti, pelajar juga dibahagikan kepada 3 kumpulan dan guru menerangkan mengenai khasiat yang terdapat dalam setiap bahan yang digunakan untuk membuat sushi (Ya, sosej tidak berkhasiat dan hanya boleh dimakan sekali sekala sahaja). Setiap pelajar diberikan plastik untuk menggulung sushi sendiri mengikut kreativiti masing-masing.Setelah selesai menggulung sushi, guru memotong gulungan dan pelajar menikmati hasil tangan sendiri. Selepas berusaha, barulah nikmati hasilnya! Setelah selesai aktiviti memasak, pelajar diminta melukis makanan berkhasiat dan menceritakan khasiat yang terdapat dalam makanan yang mereka lukis.


*********
Jumaat (24/11/2017)

“Hadiah Perpisahan”

 
Hari terakhir sesi 2017 di Tadika Permata Hidayah. Majlis penutup bagi sesi persekolahan 2017. Aktiviti dimulakan dengan membuat Art & Craft Ikan. Aktiviti dibuat dalam kumpulan-kumpulan kecil dengan dibantu orang guru. Setiap pelajar diberikan kertas dan gunting. Pelajar menggunting garisan dan melekatkan potongan tersebut untuk menjadikan badan ikan. Sirip, mulut, mata dan ekor ditambah oleh pelajar mengikut kreativiti masing-masing. Aktiviti ini menggalakkan mereka berusaha untuk menggunakan bakat masing-masing. Mereka juga diperkukuh dengan kosakata baru berkaitan ikan. Memang cantik hasil kerja mereka untuk dibawa pulang!

 
Setelah selesai, kami bergotong-royong membersihkan tadika. Ruangan perpustakaan, kelas, dan ruangan utama. Aktiviti diakhiri dengan sesi bersalaman dan bermaafan.

Alhamdulillah, aktivit sepanjang minggu penutup ini berjalan lancar. Pelajar memberi kerjasama dan mengikut arahan dengan baik.  Mereka sangat gembira dalam aktiviti yang telah dilaksanakan. Semoga aktiviti ini dapat memberi impak yang bermakna kepada pelajar-pelajar juga guru-guru dan semoga Allah memberkati usaha kami semua. Amin.


Jumpa lagi insyaAllah di tahun 2018!
Teacher Shira
permatahidayahkuantan.blogspot.com