No. 2, Jalan Kampung Padang Sejahtera 2, Taman Kampung Padang Sejahtera, 25200 Kuantan, Pahang.
Tel : 019-9555028 FB : Tadika Permata Hidayah

Blog ini menghimpunkan nukilan pena guru, staf dan ahli lembaga TPH berkaitan pengalaman dan perkongsian dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Moga bermanfaat buat semua.

Friday, 21 April 2017

Doktor Auni beraksi

21/4/2017
11.45 pagi
Kelas 6 Al-Biruni

"Eh, jom kita main doktor-doktor macam hari tu nak?"
"Ha, jom... jom. Awak jadi doktor, saya bagi ubat."

Perbualan dua sekawan itu menarik perhatianku. Lantas kuperhatikan dari jauh telatah si Auni dan Alya. Keinginan mereka untuk mengulangi semula aktiviti yang telah dijalankan dua hari lepas di TPH (boleh baca entry sebelum ini, Teddy Bear Hospital di Permata Hidayah), mendapat sambutan hangat dari rakan sekelas. Kebetulan waktu itu pelajaran Pendidikan Islam : menyayangi haiwan. Masa berbaki 15 minit selepas penerangan guru, mereka memilih untuk bermain dengan teddybear masing-masing.




Auni dengan suara yang lantang bersuara, "siapa yang baby dia sakit boleh datang jumpa doktor, sini.. sini... "

Kemudian datanglah beberapa pelajar membawa teddybear masing-masing untuk mendapatkan rawatan. Aku tersenyum lantas mendekati mereka. Pembelajaran sudah ada disitu, jadi aku sebagai pemudahcara memberi pendapat. "Apa kata Auni tarik meja tu dekat tengah sikit, sempit kat hujung tu. Kesian pesakit nanti."

Maka Auni dan Alya pun berganding bahu mengangkat meja ke tengah. Auni dengan spontan menyusun dua baris kerusi dihadapan meja.

"Mula-mula jumpa doktor dulu kat sini, lepas tu amek ubat kat sebelah ni. Nazim duduk kerusi sini. Quiyum duduk kerusi belakang. Ha, yang lain duduk ikut giliran!". Jelas Auni memberi arahan.

Maka, bermulalah prosedur seorang doktor bertanyakan sakit apa, memberi rawatan dan seterusnya mencatat deskripsi tentang pesakit di atas kertas (konon-konon kad pesakit la). 😂

"Ha Nadia dah siap? Duduk kerusi sebelah ni. Amek ubat dengan Alya. Naqib pula duduk sini, yang di belakang tu ganjak ke depan." Tegas Auni.

Lucu dengan telatah anak-anak didik, aku pun turut serta duduk disebelah doktor (nak menyibuk tanya itu.. ini, panjangkan prosedur 😀). Mereka pun aku kira dah kenal sangat dengan perangai cikgu yang satu ini. Suka turut serta ambil bahagian.... hahaha. Waktu mereka sedang bermain kad boboiboy, aku turut serta. Waktu mereka sedang nyanyi lagu boboiboy baru, aku pun ikut sama sampai ke sudah. Punyalah lama lagu tu nak habis, macam radio rosak mengulang-ulang bahagian chorus. Oleh kerana cikgu ni tak tahu lagu tu ending macammana, jadi layankan saja.. janji mereka happy!

Happy untuk apa? Happy untuk meneruskan pelajaran dan fokus! Waktu main kita main, waktu belajar kita belajar! Strategi ini juga boleh diambil sebagai set induksi. Main kad sekejap, buat-buat tak tahu apa-apa. Jadi mereka seronoklah nak tunjuk pada cikgu cara permainannya. Main sekejap, lepas tu cikgu stop dan kutip kad. Lepas belajar kita sambung lagi.. Ha semangatlah masing-masing buat kerja, Cepat habis boleh cepat main! Kadang-kadang lepas dengar cikgu mengajar dan membuat latihan, pelajar tak ingat dah pun tentang game tadi.

Eh, panjang pula Cikgu Rose melencong. 😊

Berbalik pada cerita doktor tadi, aktiviti berlangsung sehingga tamat sesi kelas. Semua pelajar diberi kesempatan untuk melakonkan watak masing-masing. Semua patuh kepada arahan Doktor Auni. Cikgu pun terkesima sekejap melihat sikap kepimpinan yang Auni pamerkan. Apa yang Cikgu Ros perasan, Auni memang mempunyai sifat prihatin terhadap rakan-rakan. Auni berjaya berkomunikasi dengan baik (communication skill) sepanjang aktiviti ini berjalan. Rakan sekelas juga boleh faham dan bekerjasama (teamwork). Inilah antara kemahiran yang perlu digilap seawal usia anak-anak ini. Supaya apabila keluar dari tadika, mereka mampu kerja berpasukan dan mempunyai sifat tolong menolong dengan keyakinan diri yang tinggi. InsyaAllah..

Salam sayang,
Teacher Rose 🌹
permatahidayahkuantan.blogspot.com

Thursday, 20 April 2017

Teddy Bear Hospital di Permata Hidayah!



Alhamdulillah, pada 19 April 2017 anak-anak Tadika Permata Hidayah telah bermain sambil belajar menerusi aktiviti 'Teddy Bear Hospital' atau 'Klinik Veterinar di TPH'. Sejak awal pagi lagi, anak-anak begitu teruja dan ternanti-nanti aktiviti ini.

Setiap pelajar diberi peranan mengikut watak dan peran masing-masing. Ada yang menjadi doktor, staf hospital dan pesakit yang membawa haiwan peliharaan masing-masing. Anak-anak membawa patung masing-masing untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Melalui aktiviti ini, anak-anak diberi ruang yang selesa dan interaktif untuk berkomunikasi. Kemahiran berbahasa, menambah kota kata (vocabulary), dan bijak memainkan peranan. Aplikasi matematik turut diterapkan termasuklah menimbang berat dan mengukur panjang.

Bermula dengan kaunter pendaftaran, anak-anak perlu menjawab soalan asas tentang haiwan yang dibawa dan diberikan sekeping kad pemeriksaan. Setiap kad pemeriksaan diberikan nombor giliran.

Mereka kemudian bergerak ke ruangan menunggu dimana nombor akan dipanggil. Alhamdulillah, pelajar 4 tahun juga dapat memahami situasi ini dan menanti dengan penuh disiplin!

Setelah nombor dipanggil, mereka akan memasuki bilik doktor yang bertugas. Di sini, komunikasi antara pelajar (doktor dan penjaga) berjalan sesuai imiginasi mereka. Ada kucing yang sakit perut. Ada harimau yang patah kaki. Ada penyu yang cedera dan macam-macam lagi! Akhirnya, doktor akan memberikan preskripsi mengikut sakit yang dihadapi.




Sebelum keluar dari klinik, mereka perlu ke kaunter farmasi untuk mengambil ubat yang ditetapkan. Setelah melalui semua kaunter, anak-anak akan keluar dari klinik untuk pulang ke kelas masing-masing. Di sini mereka akan bermain secara bebas. Ada yang berbual mengenai penyakit patung masing-masing. Ada yang menyambung rawatan. Ada yang memberi makan dan rehat. Tidak kurang juga, anak-anak lelaki yang bermain lawan-lawan kerana patung mereka telah sihat! :)



Aktiviti hari ini berjaya mencapai tujuannya! Guru-guru dapat membuat pemerhatian ke atas perkembangan pelajar dari aspek komunikasi dan kepintaran bersosial.

Anak-anak happy. Cikgu-cikgu pun happy!

Catatan Teacher Ummi,
permatahidayahkuantan.blogspot.com