Tanggal 24
September 2016, saya telah menghadiri Kursus First Aid & Life Support,
bertempat di Kulliyah Farmasi, UIAM. Program yang berlangsung dari pukul 8.30
hingga 1.30 tengahhari ini telah memberi banyak pengetahuan dan input yang
berguna untuk diaplikasikan sekiranya berlaku kecederaan atau kecemasan.
Kursus ini terbahagi kepada dua slot iaitu, pembentangan daripada
para penceramah manakala yang kedua ialah latihan praktikal kepada para
peserta. Kami telah diajar tentang teknik yang betul untuk memberi rawatan
kecemasan sekiranya disengat (stung), tercekik (choking), sawan (seizure),
melecur (burn), terseliuh (sprain), lemas (drowning) dan lain-lain.
Pembentangan dimulakan oleh Asst. Prof. Dr. Aida Nur Sharini Mohd.
Shah, seorang doktor pakar di Bahagian Kecemasan. Menurut beliau, perkara pertama yang perlu dilakukan sekiranya berlaku
kecemasan (pengsan, disengat, pendarahan, strok) ialah dengan melihat
persekitaran mangsa. Perkara ini sangat penting untuk menjamin keselamatan kita
sebagai penyelamat. Setelah memastikan persekitaran yang selamat, barulah kita
pergi ke mangsa dan melihat keadaan mangsa. Simptom-simpton yang ditunjukkan
berbeza jadi kita perlulah mengesan apakah yang berlaku kepada mangsa. Jangan
lengahkan masa dan terus meminta orang lain menelefon 999 barulah diteruskan
dengan rawatan kecemasan.
Harus diingat, keselamatan diri sendiri harus diutamakan. Sekiranya
kita tidak yakin, atau risau perkara buruk berlaku kepada kita seperti
jangkitan, maka kita tidak dipaksa untuk memberi rawatan kecemasan tersebut.
Dalam sesi kedua, kami diberi latihan praktikal oleh fasilitator
yang berpengalaman. Dalam sesi ini, kami ditunjuk dengan cara-cara yang betul
untuk memberi rawatan kecemasan. Kami juga diajar teknik CPR yang tepat.
CPR perlulah dilakukan sekiranya mangsa tidak sedarkan diri. CPR
perlulah dilakukan mengikut nisbah 30:2, iaitu 30 compression dan 2 pernafasan
dan perlu dilakukan dalam tempoh 2 minit. Namun begitu, untuk bystanders CPR,
kita hanya digalakkan untuk melakukan compression sahaja sehingga bantuan tiba.
Implikasi CPR ialah rib fracture namun teknik ini sangat penting untuk mengurangkan
risiko kematian. Teknik ini memerlukan stamina yang sangat tinggi jadi kita
disaran untuk melakukan CPR secara bergilir-gilir dengan orang lain sehingga bantuan tiba.
Saya berasa amat bertuah diberi peluang keemasan untuk menghadiri
kursus ini kerana telah didedahkan teknik-teknik yang boleh digunapakai semasa
kecemasan. Bak kata pepatah, malang tidak berbau, jadi dengan adanya
pengetahuan berguna ini diharap dapat membantu mengurangkan risiko lebih besar
kepada pesakit sementara menunggu bantuan tiba.
Catatan ringkas,
Cikgu Athirah