No. 2, Jalan Kampung Padang Sejahtera 2, Taman Kampung Padang Sejahtera, 25200 Kuantan, Pahang.
Tel : 019-9555028 FB : Tadika Permata Hidayah

Blog ini menghimpunkan nukilan pena guru, staf dan ahli lembaga TPH berkaitan pengalaman dan perkongsian dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Moga bermanfaat buat semua.

Monday, 28 September 2015

Anak Didikku...

Tawa kalian
Riang hatiku
Senyum kalian
Hilang amarahku

Sejuk hati ini
Melihat telatahmu
Wahai anak didikku
Kaulah pengubat
Kesedihanku

Kala malam
teringat gelagatmu
membuat diriku
tersenyum selalu

Diri ini tidak jemu-jemu
mendoakan kesejahteraan hidupmu
Semoga kalian bahagia selalu
Dalam menempuh liku kehidupanmu

Ini saja coretan dariku
Semoga Allah membimbingku 
Dalam mendidik dan mengasuhmu
Dengan kesabaran tak pernah jemu

Sekian dariku,
Cikgu Shira
permatahidayahkuantan.blogspot.my

Aku Seorang Guru Tadika

Kusangka mudah
Rupanya susah
Kusangka mudah
Rupanya lelah
Kusangka mudah
Rupanya payah

Namun...
Waktu berlalu
Hari silih berganti
Baruku tahu

Yang susah itulah pahala
Yang lelah itulah pahala
Yang payah itulah pahala

Betapa sayangnya Allah padaku
Dikurniakan anak-anak
Pelbagai karenah
Pelbagai ragam
Pelbagai karakter

Supaya aku susuri
Supaya aku suluhi
Supaya aku santuni

Yang pasti
Inilah pilihanku
Inilah jalanku
Jalan yang menuntut kesabaran
Jalan yang menuntut pengorbanan

Akan kuperjuangkan selagi mampuku..
Jalan ke syurga ini..
InsyaAllah.

Salam sayang,
Cikgu Ros
permatahidayahkuantan.blogspot.my

Ibrah Si Cili Padi

Alkisahnya di tadika, ada program menanam. Program ini bertujuan untuk mendekatkan diri para pelajar dengan alam sekitar disamping menginsafi kehebatan Allah Yang Maha Mencipta. Jadi bermulalah episod menanam. Pelbagai jenis sayuran yang kami cuba tanam.. Dari bendi, tomato, cili hinggalah ke pokok menjalar seperti timun dan juga kacang panjang. Nak menunjukkan Allah Maha Menumbuhkan dan Mematikan, hanya pokok tomato dan bendi sahaja yang tumbuh! Pokok lain semuanya tak menjadi. Sabarlah duhai hati.... lantas aku ulang tanam polibag yang kosong dengan bendi dan cili sahaja.





Alhamdulillah, berkat kegigihan pokok telah tumbuh dengan jayanya dan ketika aku sedang menulis kisah ini, pokok-pokok bendi sudah boleh dituai hasilnya...

Semasa proses tumbesaran pokok cili, aku sedikit teruja kerana belum ada pengalaman menanam cili sebelum ini.... hehehe. Makanya, setiap hari sewaktu menyiram pokok-pokok ini aku akan memerhati setiap inci perubahannya tanpa jemu. Dan sudah semestinya, pokok yang paling tinggi dan besar menjadi tumpuan utama...

"haih... bilalah pokok ni nak berbuah".

Bermonolog aku dipagi hari... dan tibalah hari yang dinanti, sedang ralit menyiram pokok-pokok ini, tiba-tiba mataku terpandang cili yang baru berputik buahnya!

"oh... akhirnya!", bisikku.

Tetapi ternyata yang berbuah itu bukanlah dari pokok yang diberi tumpuan itu! Sebaliknya, datang dari pokok paling kecil dan rendah! MasyaAllah. Allah ingin menegurku... Allah ingin menyampaikan sesuatu... Teguran yang sangat mendalam dan terkesan dijiwaku...

Mungkin dalam mendidik, ada anak-anak (aku lebih suka membahasakan pelajar-pelajarku dengan gelaran ini) yang cemerlang, dan ada yang kurang menyerlah. Ada anak-anak yang mudah diurus, dan tidak kurang juga yang sangat mencabar dan menguji kesabaranku.... Nah! inilah ibrahnya dari si cili padi tadi. Tidak semestinya yang besar, yang subur, yang tinggi akan mengeluarkan hasil dahulu... Begitulah simboliknya dengan anak-anak syurgaku ini...

Allahu Rabbi. Mungkin dalam mendidik, aku salah menilai. Mungkin aku ada silap dimana-mana. Terima kasih Allah atas teguranmu ini... Akan kuabadikan disini supaya menjadi peringatan padaku dan pengajaran pada kalian yang membacanya. Semoga anak-anak syurgaku ini berjaya di dunia dan akhirat kelak.. Amin.

Salam sayang,
Cikgu Ros
permatahidayahkuantan.blogspot.my


Selamat Datang ke Blog TPH

               Alhamdulillah, mengorak selangkah lagi ke hadapan Tadika Permata Hidayah memulakan blog ini dengan penuh semangat dan keazaman. Blog TPH akan mengumpulkan cerita - luahan rasa - puisi - ringkasan buku - laporan - dan pelbagai lagi bentuk penulisan para guru, staf dan ahli lembaga TPH sepanjang berkhidmat disini. Harapan kami, semoga mutiara-mutiara indah anugerah Allah s.w.t ini dapat memberikan kami banyak manfaat dan juga pada para pembaca, khususnya ibubapa dan para warga pendidik yang lain. Sesungguhnya bidang pendidikan anak-anak pra sekolah adalah suatu bidang yang penting dalam meletakkan batu asas kepada nilai-nilai rabbani dalam diri seorang anak. 

               Mari bersama kami membangunkan anak-anak dengan peribadi muslim unggul yang bermanfaat buat agama dan negaranya. Moga Allah meredhai usaha ini dan menjadi amalan soleh yang berterusan pahalanya.

"Insan Rabbani Pintar Ceria Taqwa"

Mardhiyah Mh @ Teacher Ummi
Guru Besar TPH
Sept 2015